Hanya 23% dana rangsangan datang dari kerajaan, kata badan pemikir

Hanya 23% dana rangsangan datang dari kerajaan, kata badan pemikir

Ketua Eksekutif IDEAS, Tricia Yeoh berkata kenyataan perdana menteri yang negara kekurangan dana mungkin menyebabkan pelabur mempersoalkan kemampuan Malaysia memenuhi tanggungjawab hutangnya.

Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi berkata, kerajaan banyak bergantung kepada dua program Kumpulan Wang Simpanan Pekerja yang merangkumi kira-kira 15% daripada keseluruhan pakej rangsangan ekonomi. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Sebuah badan pemikir menyifatkan kenyataan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin baru-baru ini berhubung pelbagai pakej rangsangan ekonomi menyebabkan negara kekurangan dana ialah “gambaran salah” bagaimana Malaysia membiayai pelbagai tindak balas fiskalnya terhadap pandemik Covid-19.

Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) berkata, hasil penyelidikannya menunjukkan hanya 23% atau RM79 bilion daripada pakej rangsangan bernilai RM340 bilion itu datang secara langsung daripada kerajaan.

“Daripada jumlah itu, hanya RM65 bilion atau kira-kira 20% daripada keseluruhan pakej rangsangan, ialah perbelanjaan langsung. Manakala hanya RM1 bilion ialah kerugian pendapatan langsung kepada kunci kira-kira kerajaan akibat pengecualian bayaran,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, kerajaan bergantung kepada “ekosistem luasnya, termasuk badan berkanunnya, institusi kewangan pembangunan dan agensi keselamatan sosial untuk mengelakkan pengeluaran dana secara langsung daripada kunci kira-kiranya”.

IDEAS berkata, kerajaan banyak bergantung kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, menggunakan simpanan pencarum sendiri melalui program seperti pengeluaran caruman KWSP dan i-Lestari. Dua program ini merangkumi kira-kira 15% daripada keseluruhan pakej rangsangan.”

Isnin lalu, Muhyiddin dilaporkan berkata, negara kekurangan dana susulan pengenalan pelbagai pakej rangsangan ekonomi dan peningkatan belanjawan yang berjumlah lebih RM600 bilion.

Tricia Yeoh, ketua eksekutif IDEAS, berkata kenyataan Muhyiddin boleh mempengaruhi persepsi pelabur antarabangsa terhadap negara ketika penarikan pelaburan asing lebih penting berbanding dahulu.

Katanya, pelabur mungkin mula mempersoalkan kemampuan Malaysia untuk memenuhi tanggungjawab hutangnya.

Terdahulu, sebuah lagi badan pemikir dasar awam, Pusat Penyelidikan untuk Kemajuan Masyarakat (Refsa), turut menyifatkan kenyataan Muhyiddin “tidak berasas dan mengelirukan” dengan menyalahtafsirkan istilah “perbelanjaan kerajaan” dan memperbesarkan beban fiskal terhadap tabungan negara.

Katanya, Malaysia boleh menjangkakan peningkatan pendapatan kerajaan melebihi unjuran Belanjawan 2021 disebabkan kenaikan harga minyak dunia baru-baru ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.