Wanita terjatuh gaung tunggu 3 jam sebelum diselamatkan

Wanita terjatuh gaung tunggu 3 jam sebelum diselamatkan

Mangsa berusia 51 tahun itu dipercayai patah kaki kirinya.

Mangsa dikatakan mula mendaki bukit di Pulau Mawar, Tanjung Resang, Endau bersama 11 rakan dan seorang malim gunung pada 7 pagi tadi. (Gambar Facebook)
JOHOR BAHRU:
Seorang wanita terpaksa menahan sakit kira-kira tiga jam sebelum diselamatkan dari gaung sedalam 20m, selepas terjatuh ketika mendaki bukit di Pulau Mawar, Tanjung Resang, Endau, dekat Mersing pagi tadi.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Endau, Asrul Ahmad berkata, mangsa berusia 51 tahun itu dipercayai patah kaki kirinya.

Katanya, mangsa dikatakan mula mendaki bukit itu bersama 11 rakannya pada 7 pagi sambil ditemani seorang malim gunung.

“Ketika mendaki, mangsa tiba-tiba terjatuh. Mangsa cuba diselamatkan rakan-rakannya, namun gagal sebelum akhirnya mereka menghubungi bomba pada 8.36 pagi,” katanya ketika dihubungi.

Asrul berkata, pihaknya menghantar 12 anggota bersama dua jentera ke lokasi kejadian sejurus mendapat maklumat, tetapi berdepan beberapa kesukaran mengeluarkan mangsa kerana keadaan lokasi yang curam dan perlu melalui kawasan paya bakau.

“Bomba mencuba beberapa kaedah untuk mengeluarkan mangsa, termasuk menggunakan alat pengusung. Mangsa akhirnya dapat dikeluarkan daripada gaung pada 11.14 pagi dan diserahkan kepada pihak hospital untuk rawatan.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.