
Pasukan pembelaan sepatutnya menggulung hujah Khamis lalu, namun hujahan mereka membawa kepada ia dilanjutkan dua hari lagi.
Peguam Muhammad Shafee Abdullah, Harvindejit Singh, dan Farhan Read berhujah secara lisan di hadapan barisan tiga hakim, diketuai Abdul Karim Abdul Jalil.
Karim bersidang bersama Has Zanah Mehat dan Vazeer Alam Mydin Meera.
Esok, pendakwa ad-hoc V Sithambaram – peguam jenayah terkenal yang diberi izin untuk mendakwa – mengajukan hujah.
Pendengaran ditetapkan selama 12 hari, bermula 5 hingga 22 April, dengan empat hari diuntukkan bagi pihak pembelaan dan pendakwaan.
Juga, masing-masing diberi dua hari untuk hujah terakhir.
Shafee berkata tema utama hujah pihaknya mahu menunjukkan cara hakim perbicaraan, Mohd Nazlan Mohd Ghazali, mencapai keputusannya pada hujung kes pendakwaan dan pembelaan semasa perbicaraan.
Beliau berkata hakim terkhilaf apabila memanggil Najib membela diri terhadap semua tujuh tuduhan rasuah, katanya kepada media selepas prosiding.
Shafee berkata hakim tersalah tafsir konsep undang-undang dan tidak memberikan faedah kesangsian kepada Najib.
Katanya, dalam undang-undang jenayah, andaian terbaik patut diberi kepada tertuduh, yang berhak dibebaskan tanpa dipanggil membela diri.
Katanya, Nazlan juga tidak memeriksa kes pihak pendakwaan yang menurutnya cacat.
Namun, hakim sangat beranalisi terhadap keterangan apabila pembelaan Najib dipanggil, tambanya.
Shafee berkata hakim meletakkan beban pembuktian yang salah terhadap Najib.
Katanya juga, Nazlan sepatutnya boleh meminda tuduhan salah guna kuasa dan pecah amanah jenayah sebelum pembelaan dipanggil.
Najib didakwa menyalahgunakan kuasanya sebagai perdana menteri dengan memberikan jaminan kerajaan bagi hutang RM4 bilion SRC International daripada Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan).
Beliau juga berdepan tiga tuduhan pecah amanah jenayah dan tiga tuduhan mengubah wang haram berhubung RM42 juta milik SRC, bekas unit 1MDB.
Julai lalu, Nazlan menjatuhi hukuman penjara 12 tahun ke atas Najib dan memerintahkan beliau membayar denda RM210 juta, selepas mendapati dia bersalah bagi semua tuduhan rasuah, berhubung RM42 juta milik SRC.