
Justeru, kerajaan tidak harus bingkas membenarkan pengambilan semula pekerja asing dalam beberapa sektor atas alasan pekerja tempatan tidak berminat melakukannya, kata Timbalan Presiden MTUC, Mohd Effendy Abdul Ghani.
“MTUC tetap berpegang dengan pendirian mahu kerajaan mendahulukan warga tempatan memandangkan kadar pengangguran kini masih di tahap tinggi,” katanya ketika dihubungi FMT.
Terdahulu, Menteri Sumber Manusia, M Saravanan dilaporkan berkata, terdapat permintaan majikan mengambil pekerja asing dalam sektor perladangan, pertanian, pembuatan dan pembangunan kerana bidang kerja itu tidak diminati orang tempatan.
Malah, katanya, majikan sukar mendapatkan pekerja bagi sektor 3D, iaitu kotor, sukar dan bahaya.
“Hampir 400,000 peluang pekerjaan masih tidak diisi dalam empat bidang ini,” katanya.
Effendy berkata, warga tempatan bukan memilih kerja atau kurang berminat dengan pekerjaan tertentu, sebaliknya gaji rendah menjadi faktor utama.
“Ada yang mendakwa ramai pekerja tempatan tidak berminat kerja dalam sektor 3D. Tetapi, bila kita tengok di berita, ada kalangan anak muda kita yang ada kelulusan sanggup bekerja sebagai pengutip sampah di negara lain.
“Ini membuktikan sebenarnya rakyat Malaysia bukanlah memilih pekerjaan, sebaliknya mungkin masalah gaji di negara ini.”
Beliau meminta kerajaan memberi tekanan kepada majikan untuk mendahulukan pekerja tempatan dan tidak ghairah mengaut keuntungan semata-mata.
“Pekerja asing ini tiada caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan kebanyakan mereka sedia bekerja walaupun gaji kecil, jadi senario seperti ini membuatkan ada majikan mengambil kesempatan mengupah mereka.”