
Peguam Ramkarpal Singh beritahu Mahkamah Persekutuan bahawa beliau ingin menggunakan penyata rasmi Dewan Rakyat, atau Hansard, berkenaan cadangan pindaan berkaitan hukuman mati mandatori.
Anak guamnya memohon sabitan mereka mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya disemak semula.
“Kami perlu kemukakan kepada mahkamah pandangan kerajaan berhubung hukuman mati mandatori, sebelum kami teruskan dengan permohonan semakan ini,” katanya.
Hamidreza Farahmand Hassan dari Iran dan seorang warga tempatan, Ranjit Singh, didapati bersalah mengedar dadah oleh Mahkamah Tinggi dan pensabitan mereka dikekalkan oleh Mahkamah Persekutuan.
Selain mahu memohon semakan semula ke atas pensabitan, mereka juga ingin menangguhkan hukuman sementara menunggu rang undang-undang yang akan meminda hukuman mati mandatori dibentangkan.
Timbalan Pendakwa Raya, How May Ling, bagaimanapun membantah permohonan menangguhkan pendengaran ke atas permohonan semakan itu.
“Mereka seharusnya meminta penangguhan ini lebih awal,” katanya.
Presiden Mahkamah Rayuan, Rohana Yusuf, yang mengetuai panel hakim, berkata pendengaran semakan itu telah ditunda beberapa kali sejak tiga tahun lalu, sementara menunggu Mahkamah Persekutuan membuat keputusan mengenai permohonan terhadap hukuman mati mandatori.
Rohana menyoal Ramkarpal adakah beliau bersedia untuk mengemukakan hujah mengenai semakan itu.
“Saya perlu menarik balik permohonan semakan buat masa ini,” kata Ramkarpal.
Ramkarpal kemudian beritahu wartawan beliau akan meminta arahan lebih lanjut dari kedua-dua tertuduh sama ada mereka mahu memohon semakan baharu dengan penyata rasmi Dewan Rakyat itu.
Rohana bersidang bersama Hakim Vernon Ong, Abdul Rahman Sebli, Zabariah Mohd Yusof, dan Mary Lim.