#SayaDigital bantu masyarakat mantap ilmu, jana pendapatan, kata PM

#SayaDigital bantu masyarakat mantap ilmu, jana pendapatan, kata PM

Muhyiddin Yassin berkata, kesan pandemik Covid-19 boleh menjadi pendorong untuk masyarakat luar bandar memantapkan kemahiran dan ilmu digital.

Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin, melancarkan program Gerakan #SayaDigital secara maya di Program Perumahan Rakyat (PPR) Hiliran Ampang, hari ini. (Gambar Bernama)
AMPANG:
Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin, berkata program Gerakan #SayaDigital dapat memainkan peranan penting membantu rakyat dan perniagaan kecil khususnya di luar bandar yang masih terkesan dengan pandemik Covid-19.

Beliau berkata, kesan pandemik itu boleh menjadi pendorong untuk masyarakat luar bandar memantapkan kemahiran dan ilmu digital.

“Untuk merealisasikan visi ekonomi digital ini, kita haruslah mempertingkatkan dan menambah baik literasi digital dalam kalangan masyarakat.

“Inisiatif #SayaDigital yang dilancarkan Malaydia Digital Economy Corporation (MDEC) ini merupakan kesinambungan daripada inisiatif MyDigital yang bertujuan untuk mempercepatkan pertumbuhan masyarakat celik digital di negara ini,” katanya semasa melancarkan program itu secara maya di Program Perumahan Rakyat (PPR) Hiliran Ampang.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata inisiatif #SayaDigital menyasarkan kumpulan sosial ekonomi yang lebih berfokus menerusi pelbagai program, seminar dan skim latihan sejak Ogos 2020 lalu.

Katanya, ini termasuk Latihan Literasi Digital Asas dan seminar perniagaan secara maya bertujuan membantu masyarakat menggunakan platform digital untuk menjana pendapatan melalui eRezeki.

“Bagi menggiatkan lagi inisiatif ini, usaha ini akan diteruskan di pelbagai lokasi sesi ‘outreach’ dengan kerjasama PPR, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan Pusat Internet Komuniti hingga akhir tahun ini dengan sasaran 10,000 pendaftaran di seluruh negara,” katanya.

Program #SayaDigital bertujuan meningkatkan kadar celik digital dalam kalangan rakyat golongan B40, belia, warga emas dan kumpulan rentan sosio ekonomi di 12 lokasi di seluruh negara.

Program itu juga menyokong Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDIGITAL) yang menyasarkan untuk mencipta 500,000 peluang pekerjaan baharu dalam ekokomi digital menjelang 2030, seterusnya menyumbang 22.6% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara pada 2025.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.