Pesalah puasa tak akan diangkut dengan van jenazah, kata JAINJ

Pesalah puasa tak akan diangkut dengan van jenazah, kata JAINJ

Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam negeri, Tosrin Jarvanti, berkata tindakan itu bagi menjaga aib individu berkenaan, namun hukuman sesuai akan tetap dikenakan terhadap mereka.

Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam negeri Johor, Tosrin Jarvanti, berkata penguat kuasa akan sentiasa menjalankan pemeriksaan dan risikan di lokasi yang dikenal pasti, sebelum membuat tangkapan ke atas individu tidak berpuasa. (Gambar Facebook)
JOHOR BAHRU:
Jabatan Agama Islam negeri Johor (JAINJ) tidak akan menggunakan van jenazah bagi mengangkut umat Islam yang ditahan kerana tidak berpuasa pada Ramadan.

Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam negeri Johor, Tosrin Jarvanti, berkata tindakan itu bagi menjaga aib individu berkenaan.

Bagaimanapun, katanya, tindakan undang-undang akan dikenakan terhadap mereka yang ditangkap kerana tidak berpuasa, Berita Harian melaporkan.

“Pada masa sama, JAINJ akan mengambil pendekatan memberi nasihat kepada umat Islam yang ditahan,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Festival Sekolah Agama Angkat Kumpulan Prasarana Rakyat Johor Sdn Bhd (KPRJ) dengan kerjasama JAINJ di Yayasan Warisan Johor, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Tosrin berkata, pihaknya mengenal pasti 15 ‘port’ menjual makanan di Johor Bahru dan Kulai, termasuk restoran atau kedai makan yang berselindung atau menggunakan pintu belakang.

“Penguat kuasa akan sentiasa menjalankan pemeriksaan dan risikan di lokasi yang dikenal pasti, sebelum membuat tangkapan ke atas individu tidak berpuasa.

“Jangan sesuka hati hendak makan dan minum dengan bersembunyi kerana penguat kuasa akan bergerak di seluruh lokasi yang dikenal pasti, bermula esok,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.