Perkasa gagasan politik hari ini, bukan cipta jajaran baharu, kata anak Hadi

Perkasa gagasan politik hari ini, bukan cipta jajaran baharu, kata anak Hadi

ADUN Batu Buruk itu berkata, jajaran politik baharu hanya akan mengembalikan apa yang dikhuatiri oleh rakyat iaitu era Pakatan Harapan.

Muhammad Khalil Hadi mendesak Muafakat Nasional (MN) diperkasa dan Perikatan Nasional (PN) dipertahankan.
PETALING JAYA:
Mencipta jajaran politik baharu hanya akan mengembalikan zaman pemerintahan Pakatan Harapan (PH), kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Muhammad Khalil Hadi.

Khalil, yang juga anak kepada Presiden PAS Abdul Hadi Awang, berkata gagasan politik hari ini perlu dipertahankan, diperkuat dan diperkasa.

“Bukan digoncang, dirobohkan atau diberikan ruang mencipta jajaran politik baharu yang lebih kurang sama dengan yang terdahulu.

“Jajaran politik baharu hanya akan mengembalikan apa yang dikhuatiri oleh kebanyakan rakyat jelata iaitu era Pakatan Harapan,” kata beliau di Facebook.

Disebabkan itu, demi masa depan rakyat dan negara, beliau mendesak Muafakat Nasional (MN) diperkasa dan Perikatan Nasional (PN) dipertahankan.

Katanya, bukan mencipta jajaran politik baharu yang belum tahu hujung pangkalnya, namun sudah mengetahui kesudahannya.

“Sedangkan lidah lagi tergigit, itulah perumpamaan yang sesuai diungkapkan dalam mendepani situasi politik dalam negara ketika ini yang agak hangat dan bergelora.

“Berlainan pendapat, berselisih faham dan tidak sealiran adalah perkara lumrah dalam sebuah keluarga yang besar namun ia bukan titik penamat untuk mencari solusi mahupun titik persamaan untuk menjernihkan keadaan mahupun menguatkan kembali persaudaraan dan ukhuwah,” katanya.

Kontroversi terbaharu melibatkan Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim dan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi timbul selepas Perhimpunan Agung Umno (PAU) akhir bulan lalu, yang memberi tanggapan mereka sedang bekerjasama.

Dalam ucapan dasarnya pada PAU2020 bulan lalu, Zahid mengumumkan bahawa Umno tidak akan bekerjasama dengan PPBM pada pilihan raya umum akan datang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.