Nikah tanpa izin isteri pertama, suami anak chef Wan hadapi siasatan tatatertib polis

Nikah tanpa izin isteri pertama, suami anak chef Wan hadapi siasatan tatatertib polis

Ketua Polis Perak Mior Faridalathrash Wahid berkata, pihaknya sudah menyerahkan siasatan itu sepenuhnya kepada JIPS IPK Perlis, selepas isteri pertama pegawai berkenaan membuat laporan mengenai pernikahan itu.

Ketua Polis Perak Mior Faridalathrash Wahid tidak mahu memberi komen lebih mengenai isu itu kerana siasatan dijalankan oleh Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Perlis.
IPOH:
Kes seorang pegawai polis yang bernikah dengan anak perempuan selebriti, Redzuawan Ismail atau chef Wan, tanpa mendapat restu isteri pertamanya, kini disiasat Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis.

Ketua Polis Perak Mior Faridalathrash Wahid berkata, pihaknya sudah menyerahkan siasatan itu sepenuhnya kepada JIPS IPK Perlis, selepas isteri pertama yang bekerja sebagai pensyarah di sebuah kolej antarabangsa di Kampar, membuat laporan kepada JIPS IPK Perak mengenai pernikahan itu.

“Pada mulanya memang dia (pegawai polis) itu bertugas di sini sebagai pegawai trafik dan telah bertukar sebagai pegawai siasatan jenayah di IPK Perlis pada 2019. Saya difahamkan perkahwinan dia berdaftar secara sah dengan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Perlis (JAIPs) di Perlis, jadi lazimnya kalau (perkahwinan) tidak minta kebenaran, JIPS akan kenakan tindakan tatatertib.

“Jadi, (tindakan) itu bergantung kepada siasatan dijalankan. Saya tidak mahu komen lebih pasal isu ini kerana siasatan dijalankan oleh JIPS Perlis,” katanya kepada pemberita.

Mior Faridalathrash diminta mengulas laporan dibuat seorang wanita, Nur Hamizah Shaffee, 34, kepada JIPS Perak pada 2 Mac lalu, berhubung pernikahan suaminya, Meor Mohammad Aidid Meor Jamaluddin, 35, dengan pelakon dan pengacara Serina Redzuawan, yang juga merupakan anak kepada Redzuawan Ismail atau chef Wan.

Dalam aduannya pada 18 Feb lalu, Nur Hamizah dimaklumkan oleh Meor Mohammad Aidid mengenai pernikahannya dengan Serina, yang berlaku tanpa kebenarannya selaku isteri pertama.

Bagaimanapun, Nur Hamizah berkata beliau sudah diceraikan Meor Mohammad Aidid pada 9 Mac lalu di mana pasangan itu telah mendirikan rumah tangga pada 8 Ogos 2015 dan tidak dikurniakan cahaya mata.

Terdahulu, Mior Faridalathrash menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Perak, Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Perak dan Ketua Polis Daerah Batu Gajah di Mes Pegawai Kanan Polis Perak hari ini.

Mohd Alwi Zainal Abidin menerima penyerahan tugas Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Perak daripada S Suresh Kumar, manakala Azizan Hassan pula menerima serah terima tugas sebagai Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Perak daripada Ahmad Adnan Basri.

Mohamad Roy Suhaimi Sarif pula menerima penyerahan tugas sebagai Ketua Polis Daerah Batu Gajah yang baharu daripada Ahmad Adnan Basri.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.