Kabotaj bukan punca gergasi teknologi sisih Malaysia, kata pemilik kapal

Kabotaj bukan punca gergasi teknologi sisih Malaysia, kata pemilik kapal

Persatuan Pemilik Kapal Malaysia berkata, pembatalan pengecualian kabotaj tidak menghalang penggunaan kapal asing dan tidak mewujudkan monopoli.

Malaysia dikecualikan daripada rancangan Facebook dan Google membangunkan kabel dasar laut bagi meningkatkan capaian internet antara Singapura, Indonesia dan Amerika Utara. (Gambar YouTube)
PETALING JAYA:
Pemilik kapal Malaysia mempertahankan pemansuhan pengecualian kabotaj kerana ia perlu bagi melindungi kepentingan negara, sambil menafikan perubahan itu menjadi punca gergasi teknologi mengecualikan Malaysia daripada projek kabel dasar laut.

Persatuan Pemilik Kapal Malaysia berkata, keputusan membatalkan pengecualian kabotaj untuk kapal berdaftar di negara lain membaiki kabel dasar laut tidak menghalang penggunaan kapal asing.

Menjawab kritikan Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan terhadap dasar itu, pengerusi persatuan tersebut, Abdul Hak Md Amin turut menepis dakwaan yang perubahan dasar itu akan mewujudkan monopoli.

Kata beliau, ketika ini, hanya sebuah syarikat tempatan mempunyai kapasiti untuk membaiki kabel. Kerajaan masih menyediakan lesen perkapalan domestik kepada kapal asing, sekiranya ada keperluan untuk membaiki kabel di negara ini, tambah beliau.

Beliau turut menolak dakwaan dasar kabotaj menyebabkan syarikat teknologi gergasi mengecualikan Malaysia daripada projek kabel mereka.

“Perlu dijelaskan bahawa faktor utama syarikat gergasi mengecualikan Malaysia daripada mana-mana projek kabel dasar laut adalah kerana mereka tidak mempunyai pangkalan di negara ini,” kata beliau.

Abdul Hak Md Amin, presiden Persatuan Pemilik Kapal Malaysia.

Baru-baru ini, Facebook dan Google mengumumkan kerjasama untuk membangunkan dua kabel dasar laut bagi meningkatkan capaian internet antara Singapura, Indonesia dan Amerika Utara.

Pemansuhan pengecualian kabotaj negara telah didakwa sebagai punca Malaysia dikecualikan daripada projek itu.

Bagaimanapun, Abdul Hak berkata, Malaysia tidak pernah menyertai atau melabur dalam projek itu.

“Jika kita tidak melabur dalam projek gergasi ini, sudah tentu kita tidak akan diutamakan sebagai hab berbanding negara jiran kita.”

Pengecualian kabotaj diluluskan kerajaan Pakatan Harapan yang membenarkan kapal berdaftar di negara lain melakukan kerja membaiki kabel dasar laut di perairan Malaysia.

Bagaimanapun, ia dibatalkan Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong pada 15 Nov 2020 dan beliau menolak dakwaan keputusan itu akan menjejaskan pelaburan dalam negara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.