Boleh sahkan video seks gay juga? Ahli Parlimen tanya Azmin

Boleh sahkan video seks gay juga? Ahli Parlimen tanya Azmin

Ini selepas Azmin Ali berkata rakaman audio kononnya Zahid Hamidi dan Anwar Ibrahim adalah tulen.

(Dari kiri) Abdullah Sani Abdul Hamid dari PKR dan Charles Santiago dari DAP mengkritik komen Azmin Ali mengenai perbualan telefon Zahid Hamidi-Anwar Ibrahim.
PETALING JAYA:
Seorang Ahli Parlimen PKR menyelar bekas timbalan presiden parti itu, Mohamed Azmin Ali, selepas menteri kanan itu mendakwa rakaman audio kononnya melibatkan Ahmad Zahid Hamidi dan Anwar Ibrahim adalah tulen.

Semalam Azmin, yang juga ketua penerangan Perikatan Nasional (PN) berkata, beliau yakin suara dalam rakaman itu adalah suara Anwar.

“Saya rasa ini adalah pengkhianatan terbesar yang dilakukan Anwar, bukan hanya terhadap partinya tetapi juga terhadap Pakatan Harapan kerana PKR adalah parti komponen,” kata Azmin, yang juga mendesak pihak berkuasa menyiasat kesahihan rakaman itu.

Bercakap dengan FMT, Ahli Parlimen Kapar, Abdullah Sani Abdul Hamid berkata, sekalipun  rakaman itu tulen, ia tidak menjadi isu.

“Anwar telah menafikan (rakaman itu) tetapi walaupun itu benar, apa masalahnya? Tidak ada pun yang dikatakan dalam perbualan itu jenayah,” katanya, sambil menambah bahawa jenayah sebenarnya adalah memfitnah orang lain.

Abdullah Sani mendesak Azmin untuk “memeriksa” video seks gay yang dikaitkan kepada beliau.

“Periksa video itu dan beritahu kami sama ada ia tulen atau tidak,” katanya.

Pada 2019, tidak lama selepas video dua lelaki terlibat dalam aktiviti homoseksual menjadi viral, bekas ketua Pemuda PKR Santubong, Haziq Aziz mendakwa beliau dan Azmin adalah lelaki dalam rakaman itu.

Azmin menafikan dakwaan Haziq,  Peguam negara ketika itu, Tommy Thomas  memutuskan untuk tidak mendakwa individu berkaitan dengan video itu kerana identiti mereka tidak dapat ditentukan.

Sementara itu, Charles Santiago dari DAP, mempersoalkan keperluan Azmin begitu bersungguh-sungguh meminta polis menyiasat perbualan itu sedangkan tidak ada undang-undang yang dilanggar.

Ahli Parlimen Klang itu berkata, isu yang lebih besar adalah perbuatan merakam perbualan untuk disebarkan sebagai senjata politik.

“Persoalannya adalah siapa yang memiliki kemahiran jenis ini (untuk membuat rakaman sedemikian)?

“Siapakah yang paling banyak mendapat keuntungan daripada pembocorkan perbualan ini dan memecah-belahkan lagi Umno?,” kata beliau.

Santiago juga berkata, Azmin tidak layak bercakap mengenai pengkhianatan kerana beliau antara penggerak utama Langkah Sheraton yang mengakibatkan kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.