Suami isteri ‘Datuk, Datin’ disyaki terlibat sindiket dadah antarabangsa

Suami isteri ‘Datuk, Datin’ disyaki terlibat sindiket dadah antarabangsa

Polis turut buat rampasan bernilai RM1.39 juta melibatkan 12.24kg syabu, 6.61kg pil ektasi dan 420g ketamin, kenderaan mewah dan barang kemas.

Timbalan Pengarah Narkotik (Risikan/Operasi) Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman Zainudin Ahmad (kiri) menunjukkan dadah dirampas daripada sindiket yang dipercayai mengedar dadah untuk pasaran di Indonesia itu. (Gambar Bernama)
BATU PAHAT:
Pasangan suami isteri bergelar ‘Datuk’ dan ‘Datin’ antara sembilan individu yang ditahan polis dalam enam serbuan berasingan di dua negeri pada Rabu dan Khamis lepas kerana dipercayai terlibat dalam sindiket pengedaran dadah antarabangsa.

Timbalan Pengarah Narkotik (Risikan dan Operasi) Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman Zainudin Ahmad berkata ‘Datuk’ itu dikenali sebagai ahli perniagaan berusia 59 tahun.

“Polis merampas sebanyak 12.24kg syabu, 6.61kg pil ektasi dan 420g ketamin serta tiga kenderaan mewah, selain barang kemas, kesemuanya dianggarkan bernilai RM1.39 juta.

“Kumpulan ini yang ditahan hasil operasi Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Selangor dan Johor itu, dipercayai aktif menjalankan pengedaran dadah sejak pertengahan bulan September 2020,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat, di sini hari ini.

Beliau juga percaya sindiket itu menjadikan perairan di sekitar pantai barat Johor termasuk di Batu Pahat untuk membawa keluar dadah berkenaan bagi pasaran di Indonesia.

Daripada sembilan ditahan, seorang didapati positif dadah dan lima daripadanya mempunyai rekod kesalahan lampau berkaitan jenayah serta dadah termasuk ‘Datuk’ yang pernah dipenjara selama lima tahun, sebelum ini, juga berkaitan dadah.

Kesemua suspek warga tempatan berusia antara 22 hingga 59 tahun itu, ditahan reman selama tujuh hari sehingga Rabu depan untuk siasatan kes di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Zainudin berkata kumpulan sindiket itu dipercayai mempunyai kaitan dengan tangkapan pihak berkuasa Taiwan, bulan lepas, melibatkan pengedaran dadah antarabangsa.

“Tiga warga Malaysia dan empat warga Indonesia ditahan di perairan Taiwan dengan rampasan dadah membabitkan dadah jenis ketamin seberat 281kg dengan anggaran nilai RM15 juta,” katanya

Susulan itu, pihak berkuasa Taiwan telah menghubungi pihaknya mengenai tangkapan berkenaan dan hasil siasatan mereka mendapati kesemua individu terbabit mengaku mempunyai kaitan dengan kumpulan di Malaysia ini.

“Polis kini sedang giat mencari saki-baki ahli kumpulan ini yang dipercayai menjadi perantara berdasarkan modus operandi mereka menggunakan jalan laut untuk menyeludup keluar dadah,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.