
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis, berkata sehingga kini pihaknya masih giat menjalankan operasi pemadaman ke atas kontena itu.
Katanya, pemeriksaan mendapati semua kontena itu antaranya berisi kain sintetik, perabot kayu, plastik resin dan bahan kimia sodium karbonat.
“Kebakaran lima daripada kontena itu berjaya dipadamkan sepenuhnya manakala tiga lagi masih dalam proses pemadaman.
“Tiga lagi kontena bagaimanapun tidak dibuka kerana dalam proses penyejukan (sodium karbonat),” katanya dalam kenyataan.
Norazam berkata, pihaknya juga akan membuka enam kontena lain bagi memastikan sama ada berlaku kebakaran atau sebaliknya.
Beliau berkata, selain JBPM, operasi itu disertai Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Pasukan Polis Marin (PPM).
Sementara itu, dalam perkembangan terkini pihak bomba berjaya membuka lapan kontena, manakala tiga lagi belum dibuka kerana berisiko.
Terdahulu, Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) dalam kenyataan berkata, kapal MV Interasia Catalyst sepanjang 260m itu berlepas dari Pelabuhan Klang, pada 1 pagi, 4 April lalu, untuk ke Cochin, India.
Namun, pada 5 April, ejen kapal itu memaklumkan terdapat asap yang keluar daripada sebilangan kontena di dek kapal dan kapten kapal meminta untuk berpatah balik ke Pelabuhan Klang.