Tukar semula dasar kabotaj jika tak mahu negara rugi berbilion, kata Guan Eng

Tukar semula dasar kabotaj jika tak mahu negara rugi berbilion, kata Guan Eng

Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong harus mengakui bahawa dasar kabotajnya telah gagal, kata Lim Guan Eng.

Lim Guan Eng dan Wee Ka Siong 
PETALING JAYA:
Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong harus mengakui bahawa dasar kabotajnya telah gagal dan ia harus ditukar semula kepada yang lama untuk menyelamatkan negara daripada kerugian berbilion ringgit dalam potensi pelaburan data, kata Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

Bekas menteri kewangan itu berkata, kerajaan harus mengamati kenyataan Pengerusi Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) Rais Hussin bahawa tiga kabel baharu yang awalnya dirancang untuk tiba di Malaysia kini sedang dikaji semula disebabkan perubahan dalam dasar ini.

“Rais berkata, turut dikaji semula adalah pelaburan asing berpotensi pusat data bernilai RM12-15 bilion.

“Masalah utama bagi Malaysia sekarang adalah sama ada Wee bersedia mengakui kegagalannya dan menukar semula dasarnya yang gagal demi menyelamatkan pelaburan berpotensi pusat data bernilai RM12-15 bilion atau pelaburan digital lain yang kritikal.

“Malaysia tidak mampu menanggung kerugian yang disebabkan kedegilan dan keengganan Wee untuk bertindak dengan waras,” kata beliau dalam kenyataan hari ini.

Oleh sebab itu, kata Lim, pengecualian kabotaj untuk kapal asing yang melakukan pembaikan kabel dasar laut harus segera dikembalikan.

Ahli Parlimen Bagan itu berkata, tindakan Facebook dan Google mengetepikan Malaysia dan memilih Singapura dan Indonesia menjadi simbol kegagalan dasar kabotaj Wee.

Kata beliau, sektor ekonomi digital negara menerima tamparan hebat apabila IBM memutuskan untuk menutup Pusat Penyampaian Global teknologi maklumatnya bernilai RM1 bilion di Cyberjaya pada akhir Mei, yang mengakibatkan kehilangan 1,000 pekerjaan berkemahiran tinggi.

Sekiranya dasar kabotaj tidak ditukar semula, sektor itu akan menerima lebih tamparan dan sukar dipulihkan, tambah beliau.

Pengecualian kabotaj diluluskan oleh bekas menteri pengangkutan Loke Siew Fook, sewaktu pemerintahan Pakatan Harapan, membolehkan kapal asing melakukan kerja-kerja pembaikan di bawah laut.

Namun, pada November tahun lalu, Wee membatalkan pengecualian ini untuk pembaikan kabel dasar laut dan menyangkal dakwaan ia akan mempengaruhi pelaburan.

Rais juga dengan tegas membantah dakwaan Wee bahawa Malaysia diketepikan dalam beberapa projek kabel dasar laut kerana tidak mempunyai infrastruktur pusat data yang sesuai, dengan berkata, menteri tersebut perlu memeriksa faktanya.

Penganalisis sebelum ini berkata, matlamat dasar kabotaj Malaysia adalah untuk melindungi dan mempromosikan industri perkapalan tempatan dan skopnya tidak sepatutnya termasuk kabel dasar laut.

Kata mereka, tiada satu pun antara 60 kapal di dunia yang boleh membaiki kabel dasar laut adalah milik Malaysia.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.