
Ahli PKR itu, yang juga aktivis hak asasi manusia, berkata dalam hal ini, Putrajaya perlu mengabaikan prinsip tidak campur tangan Asean dengan memberi tekanan ekonomi kepada junta sehingga mereka mengakhiri pembunuhan dan membebaskan semua tahanan politik.
Menurut laporan berita, tindakan keras di Myanmar telah mengakibatkan lebih daripada 500 kematian dan sejumlah kecederaan.
Wong mencadangkan agar kerajaan mengarahkan syarikat tempatan, termasuk bank, untuk menamatkan hubungan dengan anggota tentera junta dan sekutunya.
“Kementerian Perdagangan dan Industri Antarabangsa (MITI) dan Bank Negara Malaysia boleh mengeluarkan arahan dan nasihat seperti itu,” kata beliau.
Namun begitu, Wong mengingatkan pendekatan menyeluruh berkenaan sekatan ekonomi akan lebih membawa keburukan berbanding kebaikan.
“Saya tidak rasa pendekatan ekonomi secara menyeluruh adil. Ia akan menjejaskan rakyat Myanmar yang tidak bersalah.
“Penting untuk menerapkan sekatan kewangan secara bersasar terhadap hanya anggota dan sekutu tentera junta,” kata beliau.
Baru-baru ini, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mendesak para pemimpin tentera Myanmar untuk mencari jalan penyelesaian yang damai.
“Saya terkejut dengan penggunaan kekerasan ganas yang berterusan terhadap orang awam yang tidak bersenjata, yang telah menyebabkan jumlah kematian dan kecederaan yang tinggi, serta penderitaan di seluruh (Myanmar),” kata Muhyiddin.
“Tidak ragu lagi penggunaan peluru hidup terhadap penunjuk perasaan aman tidak dapat diterima. Situasi menyedihkan ini mesti dihentikan segera.”
Pakar hak asasi manusia John Quinley dari Fortify Rights bersetuju, sekatan yang disasarkan terhadap perusahaan milik tentera dan pegawai tentera akan menangani kekebalan dan memberi tekanan kepada junta.
Bagaimanapun, kata beliau, Malaysia tidak sepatutnya mengambil pendekatan “tunggu dan lihat” terhadap isu ini.
“Malaysia mesti bertindak segera,” kata Quinley.
Wong dan Quinley sama-sama mencadangkan agar Malaysia terus memberikan sokongan dan bantuan kemanusiaan kepada pelarian Myanmar, termasuk pelarian Rohingya, Chin, dan Rakhine yang sudah ada di Malaysia, selain yang telah menyeberang ke Thailand.
Mereka juga berkata, Asean harus memainkan peranan yang lebih aktif dalam mempertanggungjawabkan tentera Myanmar atas kekejaman mereka.
“Asean mesti merombak diri dan membangunkan kembali versi yang lebih legalistik berdasarkan nilai-nilai demokratik sejagat,” kata Wong.
Parti Sosialis Malaysia (PSM) baru-baru ini mengeluarkan kenyataan menggesa Petronas menarik balik pelaburannya di Myanmar.
“Petronas telah mengumumkan penghentian sementara operasi di lapangan gas Yetagun, tetapi syarikat tersebut berkata, ia tetap komited terhadap projeknya dan mengambil semua langkah yang perlu untuk menyambung operasi secepat mungkin,” kata ahli jawatankuasa pusat PSM Choo Chon Kai.
“Ini menunjukkan bahawa Petronas sedang berusaha mengekalkan operasi seperti biasa tanpa mempedulikan krisis parah yang melanda negara itu, dengan ratusan orang terbunuh sejak tentera merampas kuasa.”
Kata Choo, kerajaan seharusnya memberi tekanan terhadap Petronas untuk berhenti “membiayai pembunuhan yang dilakukan junta” terhadap rakyat Myanmar.