FMT dan BAC cetus program biasiswa RM2.2 juta

FMT dan BAC cetus program biasiswa RM2.2 juta

Pengajian dalam kursus asasi, diploma dan ijazah bagi 100 orang anak muda akan dibiayai sepenuhnya.

Biasiswa, bernilai RM2.2 juta, akan membantu menampung pengajian 100 pelajar Malaysia dalam pelbagai bidang.
PETALING JAYA:
Seratus orang anak muda yang layak akan berpeluang melanjutkan pelajaran melalui program biasiswa bernilai RM2.2 juta yang ditubuhkan oleh Brickfields Asia College Education Group (BAC) dan Free Malaysia Today.

Program Biasiswa BAC-FMT itu membiayai sepenuhnya yuran pengajian bagi kursus asasi, diploma, dan ijazah dalam bidang undang-undang, perniagaan, hospitaliti, komunikasi, psikologi, pendidikan awal kanak-kanak, IT, perakaunan, dan kewangan, antara lain.

Kursus yang terlibat menelan belanja antara RM7,900 dan RM67,000, dan pelajar hanya perlu membayar yuran sumber tahunan sebanyak RM1,000.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Nancy Shukri, yang melancarkan program itu, berkata ramai pelajar akan berpeluang membina kemahiran penting yang diperlukan untuk membantu sektor pelancongan berkembang sejurus sekatan berkaitan wabak ditamatkan.

Nancy Shukri.

“Kita memerlukan orang baharu, darah muda, golongan belia, untuk memainkan peranan dalam mengembangkan dan mengatur semula sektor pelancongan dan hospitaliti dalam negara,” kata beliau dalam panel yang dianjurkan oleh FMT.

“Kalau kita mahukan pelancong, terutamanya dari luar negara, untuk datang (ke Malaysia), kita perlu buat mereka rasa dialu-alukan, dengan cara kita menguasai bahasa mereka. Kita juga mahu melariskan negara melalui penceritaan, dengan mempersembahkannya dalam bentuk digital,” kata beliau.

Beliau mengalakkan golongan belia yang berminat dengan bidang pelancongan dan hospitaliti untuk menceburinya, dan beliau menjangkakan sektor ini akan kembali berkembang setelah wabak berjaya ditangani.

Pengarah Urusan BAC Education Group Raja Singham berkata, program biasiswa itu menegaskan kembali komitmen mereka untuk menyediakan akses pendidikan yang adil, sambil menambah, beliau berharap kerjasama itu dapat membantu mempersiapkan lebih ramai pelajar bagi menghadapi cabaran yang akan datang.

Raja Singham.

“Pada masa depan, pendidikan akan cenderung ke arah kerelevanan, menghasilkan graduan yang tahu bagaimana untuk berfikir, dan bagaimana untuk belajar,” kata beliau, sambil mengeluh pendidikan tinggi pada umumnya lambat untuk berubah mengikut permintaan baharu.

“Kami mahu fokus kepada membangunkan penyelesaiannya, tetapi tidak cukup tenaga, kemampuan dan sumber untuk menyampaikannya kepada setiap orang. Dari segi itulah, kerjasama seperti ini, dengan pihak media, kerajaan dan institusi, diperlukan masyarakat,” kata beliau.

Al-Ishsal Ishak.

Pengerusi FMT Al-Ishsal Ishak berkata, kerjasama itu adalah lanjutan kepada komitmen syarikat yang lebih luas untuk mempromosikan bakat muda.

“Di FMT, 71% daripada tenaga kerja kami berusia bawah 30 tahun … ini adalah falsafah dan jiwa organisasi kami. Ia mengenai membina bakat dan kemahiran mendalam, serta meneruskan kelestarian industri media,” kata beliau.

Pelajar yang berminat boleh melayari laman web BAC untuk memuat turun borang permohonan. Semua warganegara Malaysia berusia bawah 25 tahun digalakkan memohon.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.