(KEMASKINI) Lima beranak lega, bank batal lelong rumah

(KEMASKINI) Lima beranak lega, bank batal lelong rumah

Selepas protes di luar bank, keluarga berkenaan dibenar terus menduduki rumah dengan membayar RM500 sebulan sehingga surat-surat pentadbiran siap.

Pravinraj Chandrasekaran dan keluarga memegang sepanduk di luar OCBC Bank di Jalan Tun Perak, Kuala Lumpur, hari ini.
PETALING JAYA:
Sebuah keluarga miskin lima beranak dari Perak hampir kehilangan rumah mereka menerusi lelongan bank setelah menjadi mangsa kerenah birokrasi pejabat tanah.

Bagaimanapun, Pravinraj Chandrasekaran dan keluarga berjaya ‘menyelamatkan’ rumah mereka setelah mengadakan tunjuk perasaan di luar bangunan bank OCBC di Jalan Tun Perak, Kuala Lumpur, agar pihak bank membatalkan lelongan rumah itu.

Rumah keluarga berkenaan, di Kampung Tersusun Kemuning, Sungai Siput, dijadualkan dilelong pada 15 April, selepas bapa Pravinraj, Chandrasekaran Murgan Kandan, yang membuat pembiayaan semula rumah tersebut dengan OCBC Bank Bhd, meninggal dunia pada Ogos tahun lalu.

“Selepas ayah meninggal dunia, keluarga melantik saya sebagai pemegang amanah hartanahnya. Kami mengemukakan permohonan ke Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Kangsar pada September tahun lalu, tetapi sampai sekarang, masih belum dipanggil untuk temuduga.

“Malangnya, kami tidak dapat berbincang dengan OCBC (mengenai pinjaman yang diambil) kerana surat-surat pentadbiran berkenaan hartanah ayah saya belum dikeluarkan,” kata Pravinraj kepada FMT.

Nenek Pravinraj, Kuppamah Pachiappan berkata, beliau membeli rumah itu pada 1983 dan memindahkan hak milik kepada anaknya, Chandrasekaran.

Kuppamah Pachiappan berkata, beliau berhak mendapatkan kembali rumah yang dibelinya dengan wang hasil titik peluhnya sendiri.

“Saya membeli rumah itu dengan wang hasil titik peluh saya sendiri untuk keluarga saya, dan saya percaya saya berhak mendapatkan kembali rumah saya,” kata beliau.

Hari ini, lima beranak berkenaan, bersama Pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM) Dr Michael Jeyakumar turun ke Kuala Lumpur dalam usaha menghalang OCBC melelong rumah tersebut.

Kata Jeyakumar, keluarga itu bersedia membayar RM500 sebulan untuk menampung pinjaman bank berkenaan.

Tambah beliau, sejurus sahaja surat-surat pentadbiran dikeluarkan, keluarga itu bersedia berbincang dengan pegawai OCBC tentang bagaimana pinjaman tersebut dapat distruktur semula dan diselesaikan.

“Bank harus lebih prihatin terhadap keluarga ini, ia hanya pinjaman kecil. Jutawan di Malaysia mengambil pinjaman besar dan bank masih memberi mereka kelonggaran, kenapa tidak masyarakat awam?” soal Jeyakumar.

Dalam usaha terdesak menghalang rumah mereka dilelong, Pravinraj dan keluarganya berdiri di hadapan OCBC Bank dan menuntut untuk bercakap dengan pihak pengurusan bank.

Selepas sejam menunggu, mereka akhirnya dibenarkan berbincang dengan pegawai bank yang memutuskan untuk membatalkan lelongan rumah tersebut.

Keputusan itu diterima dengan rasa lega dan gembira oleh Pravinraj sekeluarga.

“Syukur mereka (OCBC) memutuskan untuk tidak melelong rumah. Kami diberitahu oleh bank untuk membayar RM2,000 wang muka, dan RM500 sebagai bayaran bulanan, sehingga surat pentadbiran diterima, sebelum berunding lebih lanjut dengan bank,” kata Pravinraj.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.