Lapangan Terbang Tawau disaran tutup sementara bendung Covid-19

Lapangan Terbang Tawau disaran tutup sementara bendung Covid-19

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Tawau berkata, penularan Covid-19 di daerah itu membimbangkan dan beberapa langkah keselamatan kesihatan wajar diambil.

Cadangan menutup sementara Lapangan Terbang Tawau untuk perkhidmatan penumpang dikemukakan kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sabah serta MKN Sabah baru-baru ini.
TAWAU:
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Tawau mencadangkan Lapangan Terbang Tawau ditutup sementara untuk perkhidmatan penumpang bagi membendung penularan Covid-19.

Pengerusinya, Arnold Joibi yang juga presiden Majlis Perbandaran Tawau (MPT) berkata, cadangan itu dikemukakan kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri serta Majlis Keselamatan Negara (MKN) Sabah baru-baru ini.

“Penularan Covid-19 di Tawau membimbangkan dan sebab itu perlu ditangani dengan mengambil beberapa langkah keselamatan kesihatan,” katanya kepada Bernama.

Tawau mencatat kes positif Covid-19 harian tertinggi di Sabah semalam, iaitu 63 kes daripada keseluruhan 106 kes di seluruh negeri.

Sementara itu, beliau berkata, tindakan tegas termasuk kompaun maksimum akan dikenakan kepada penduduk yang melarikan diri dari lokaliti perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD).

“Penduduk di Simpang 3A Merotai Besar, Kampung Baru Pasir Putih, Fasa 2A Taman Semarak dan Kampung Ranggu Batu 10 yang melarikan diri daripada PKPD ini perlu balik segera dan menjalani ujian saringan Covid-19.

“Didapati masih ramai penduduk dalam lokaliti PKPD tidak menjalani saringan, misalnya di Fasa 2A Taman Semarak, penduduknya seramai 840 orang, namun yang melakukan ujian Covid-19 hanya 160 orang.”

Beliau menasihatkan orang ramai mematuhi SOP serta bersama melandaikan kes Covid-19 di Tawau, selain memastikan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan sehingga 16 April ini tidak lagi dilanjutkan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tawau, Peter Umbuas berkata, polis menambah dua lagi sekatan jalan raya di Jalan Utara serta Jalan Kuhara bagi mengawal pergerakan penduduk ke kawasan bandar.

“Polis juga menutup Jalan Salleh dan Jalan Tanjung Batu. Ketika ini, tahap pematuhan SOP di Tawau terendah di Sabah.”

Tiga sekatan jalan raya sedia ada di Tawau adalah Jambatan Putih, Batu 2 Jalan Apas dan Jalan Tiku.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.