KKM pertimbang cadangan penderma darah lebih 50 kali divaksin dalam fasa 2

KKM pertimbang cadangan penderma darah lebih 50 kali divaksin dalam fasa 2

Menteri Kesihatan, Dr Adham Baba berkata, KKM akan membawa cadangan itu kepada Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19.

Menteri Kesihatan, Dr Adham Baba (pelitup muka hijau) beramah mesra dengan penderma darah ketika melawat Pusat Darah Negara hari ini. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Kementerian Kesihatan (KKM) akan mempertimbangkan cadangan memberi keutamaan kepada penderma darah lebih 50 kali bagi fasa kedua Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

Menteri Kesihatan, Dr Adham Baba berkata, KKM akan membawa cadangan itu kepada Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV).

“Ia cadangan yang baik dan sebagai insentif kepada penderma darah di Malaysia,” katanya selepas melawat Pusat Darah Negara (PDN).

Baru-baru ini, penderma darah mencadangkan mereka diberi keutamaan untuk mendapatkan vaksin Covid-19.

Sementara itu, Adham berkata, sebanyak 652,671 beg darah didermakan di seluruh negara tahun lalu, turun 12.3% berbanding 2019 akibat pandemik Covid-19.

Bagaimanapun, katanya, bekalan darah di seluruh negara masih mencukupi setakat ini.

Beliau berkata, KKM sedang mengkaji keperluan mengkomersialkan Sistem Pengurusan Bank Darah yang dibangunkan PDN kepada pihak swasta dan luar negara.

Katanya, sistem itu meliputi data penderma darah dan pelbagai aspek bekalan stok darah, termasuk keperluan kumpulan darah, pendaftaran penderma dan kakitangan PDN.

Selain itu, beliau berkata, PDN akan melanjutkan operasi sehingga malam menjelang Ramadan untuk memproses darah diderma dan sepanjang bulan puasa bagi penderma darah, khususnya umat Islam, menderma darah selepas berbuka puasa.

Penganjur kempen derma darah juga, katanya, boleh terus menganjurkan kempen pada Ramadan mulai minggu depan kerana bekalan darah dijangka berkurangan.

Dalam perkembangan berkaitan, Timbalan Menteri Pendidikan, Muslimin Yahya berkata, kira-kira 55,000 guru yang dikategorikan golongan berusia dan berisiko tinggi akan diberi keutamaan dalam fasa kedua Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

“Mereka (guru) yang berisiko tinggi ini akan berada dalam fasa kedua. Kita baharu selesai fasa pertama melibatkan ‘frontliners’.

“Untuk cikgu, sudah ada yang dapat (vaksin Covid-19) bersama Menteri Kanan (Pendidikan), Mohd Radzi Md Jidin ketika itu, dan fokus kita adalah 55,000 guru yang berisiko tinggi dan selepas itu kita beransur dengan fasa ketiga dan keempat,” katanya selepas Program Malaysia Prihatin di Sungai Besar.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Sungai Besar berkata, program itu bertujuan memberi penjelasan kepada masyarakat berhubung inisiatif dan langkah menangani Covid-19 serta program imunisasi kebangsaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.