
Sime Darby dalam kenyataan kepada FMT berkata, projek membawa kembali 123 pekerja Bangladesh menggunakan penerbangan sewa itu dilakukan dengan kerjasama kerajaan supaya “rancangan kembali bekerja itu dilaksanakan dengan kaedah terkawal dan selamat”.
Jun tahun lalu, Menteri Sumber Manusia, M Saravanan mengumumkan pembekuan pengambilan pekerja asing bagi semua sektor dalam usaha mengutamakan pekerjaan untuk rakyat Malaysia.
Negara bergantung kepada kira-kira dua juta pekerja asing sah – kebanyakannya dari Bangladesh, Indonesia dan Nepal – dalam sektor seperti pembinaan, pembuatan, perladangan serta pertanian.
Pelbagai kumpulan perniagaan dan syarikat menentang pembekuan ke atas pekerja asing baharu atas alasan kekurangan buruh menjejaskan pemulihan perniagaan.
Sime Darby berkata, pekerja Bangladesh pulang ke tanah air mereka sebelum pandemik Covid-19 dan tidak dapat kembali ke Malaysia kerana sempadan ditutup.
Syarikat itu berkata, ia mematuhi semua SOP Covid-19 untuk memastikan pekerjanya dapat kembali bekerja dengan selamat.
Mereka menjalani ujian saringan Covid-19 tiga hari sebelum penerbangan dan kini dikuarantin selama tujuh hari selepas disahkan negatif.