Rakaman audio: Pihak berkuasa akan siasat jika ada laporan, kata Hamzah

Rakaman audio: Pihak berkuasa akan siasat jika ada laporan, kata Hamzah

Menteri dalam negeri berkata, dalam kes seperti itu tumpuan siasatan selalunya diberi kepada aspek kewujudan rakaman dan kesahihannya.

Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainudin, berkata agensi bertanggungjawab bawah Kementerian Dalam Negeri akan menyiasat semua laporan yang dibuat.
PETALING JAYA:
Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainudin, berkata pihak berkuasa akan menyiasat rakaman audio yang tular didakwa antara Ahmad Zahid Hamidi dan Anwar Ibrahim, sekiranya menerima laporan.

Katanya, dalam kes seperti itu, tumpuan siasatan selalunya diberikan kepada dua aspek.

“Sudah tentu kita (agensi bertanggungjawab bawah KDN) akan siasat semua laporan yang diberikan.

“Pertama siasat mengenai ketulenan, apakah ada perbualan itu? Kalau tiada, bermakna cerita dibuat itu adalah fitnah,” katanya, menurut laporan Berita Harian.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Saifuddin Abdullah dipetik Bernama sebagai berkata, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia serta CyberSecurity Malaysia juga belum menerima laporan berhubung perkara itu.

“Kita tunggu, kalau ada laporan dibuat, biasanya kes-kes seperti ini akan disiasat di bawah ‘CyberSecurity’,” kata Saifuddin sebelum majlis mengadap Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail di Istana Arau.

Terdahulu, presiden Umno dan ketua pembangkang itu dalam kenyataan berasingan, menyifatkan rakaman audio berkenaan sebagai fitnah.

Anwar berkata, pendedahan rakaman itu adalah gerakan fitnah yang sengaja direka pihak tertentu menggunakan PKR untuk menyerang kepimpinan Umno, manakala menurut Zahid, ia adalah “usaha berterusan” untuk melemahkan dan menghancurkan Umno.

Bercakap pada sidang media di Majlis Pelancaran Projek Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (NIISe) hari ini, Hamzah berkata, beliau hairan dengan reaksi kedua-dua pemimpin tersebut.

“Yang dua-dua nak marah ini kenapa?” soalnya.

Semalam, satu rakaman video dan audio didakwa mirip suara Zahid dan Anwar tular di media sosial.

Dilaporkan rakaman itu, antara lain menyebut ucapan Zahid pada Perhimpunan Agung Umno 2020 (PAU2020) baru-baru ini yang menolak kerjasama dengan pembangkang, hanya taktik.

Pemimpin daripada kedua-dua belah pihak, PKR dan Umno, juga menyelar tindakan menyebarkan rakaman audio itu.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Mohd Puad Zarkashi sebelum ini menyifatkan tindakan itu bermotifkan politik, dan menggelarnya sebagai “konspirasi peringkat tertinggi”, manakala pemimpin PKR Tian Chua semalam mempersoalkan cara rakaman tersebut disebar.

Ketua Umno Perlis Shahidan Kassim juga berkata, beliau akan membuat laporan polis kerana namanya disebut dalam rakaman itu, selain meminta pihak lain turut melapor kepada polis supaya kesahihan rakaman itu disiasat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.