
“Saya dengar (rakaman audio itu) dan selepas berada dalam PKR selama 20 tahun, saya percaya itu suara Anwar,” kata bekas naib presiden PKR itu dalam satu majlis di Ampang.
Perbualan itu didakwa berlaku selepas Perhimpunan Agung Umno (PAU) akhir bulan lalu, yang memberi tanggapan mereka sedang bekerjasama.
Bagaimanapun, Zahid dan Anwar menafikan dakwaan itu.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Mohd Puad Zarkashi menolak rakaman itu dengan menyifatkannya “konspirasi peringkat tertinggi” dan berkata pendedahan itu bermotifkan politik.
Sementara itu, Zuraida berkata, perbincangan masih diteruskan untuk mengkaji Akta Perhimpunan Aman untuk memudahkan perhimpunan awam diadakan.
Pada 3 April lalu, Zuraida dilaporkan berkata, perhimpunan aman tidak patut tertakluk kepada sebarang siasatan polis dan menggesa akta itu dikaji semula.
Beliau berkata demikian susulan siasatan polis ke atas peserta perhimpunan menyokong dasar Undi18 di luar Parlimen pada 27 Mac lalu. Undi18 membenarkan belia berusia 18 tahun ke atas mengundi.
Mengenai keputusan Umno tidak bekerjasama dengan PPBM, Zuraida, yang kini ahli parti pemerintah itu berkata, beliau menerimanya sebagai “sebahagian daripada hidup”.
Dalam ucapan dasarnya pada PAU 2020 bulan lalu, Zahid mengumumkan bahawa Umno tidak akan bekerjasama dengan PPBM pada pilihan raya umum akan datang.