Pendakwa selektif tuduh Najib, kata peguam

Pendakwa selektif tuduh Najib, kata peguam

Harvinderjit Singh berkata, pasukan penyiasat mengeluarkan notis merah untuk menangkap tiga lagi individu ketika bekas perdana menteri didakwa.

Najib Razak dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta selepas didapati salah ke atas tujuh tuduhan rasuah oleh Mahkamah Tinggi. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Pihak pendakwaan bersikap selektif dalam menuduh Najib Razak atas kesalahan pecah amanah berkaitan dana SRC sebanyak RM42 juta walaupun pasukan penyiasat sudah mengeluarkan notis menahan tiga lagi individu atas kesalahan sama, Mahkamah Rayuan diberitahu hari ini.

Peguambela Harvinderjit Singh berkata Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) meminta bantuan Interpol untuk membantu mengeluarkan notis merah ke atas pengarah SRC, Suboh Md Yassin; ketua pegawai eksekutif SRC, Nik Faisal Ariff Kamil dan seorang lagi individu yang dikenali sebagai Redzuan Adam Shah.

Ketiga-ketiga mereka dikatakan melarikan diri ke luar negara selepas kerajaan Pakatan Harapan (PH) menang pilihan raya umum pada 9 Mei 2018.

“Lebih kurang pada Jun atau Julai, notis merah dikeluarkan terhadap ketiga-tiga individu berkenaan atas kesalahan pecah amanah berjumlah RM50 juta.

“Setelah mengambil pendirian itu, pihak pendakwaan tiba-tiba memutuskan untuk mendakwa Najib,” kata Harvinderjit di hadapan panel tiga hakim, diketuai Abdul Karim Abdul Jalil.

Namun, Karim berkata: “Pendakwa raya mempunyai budi bicara (mengenai siapakah yang ia ingin dakwa).”

Hakim lain adalah Has Zanah Mehat dan Vazeer Alam Mydin Meera.

Antara Disember 2014 dan Februari 2015, dana SRC berjumlah RM42 juta dipindahkan melalui proses “pelapisan” kepada Gandingan Mentari Sdn Bhd, anak syarikat SRC.

Wang itu kemudiannya dipindahkan ke Ihsan Perdana Sdn Bhd dan akhirnya ke akaun Najib di Ambank.

Harvinder berkata Suboh dan Nik Faisal adalah penandatangan bagi SRC dan Gandingan Mentari.

Katanya, ketua pegawai eksekutif Ihsan Perdana, Shamsul Anwar Sulaiman yang diamanahkan untuk menjalankan program tanggungjawab korporat dan sosial untuk SRC, kemudian memindahkan wang itu ke akaun Najib.

“Najib tidak bertanggungjawab terhadap kesalahan pecah amanah itu. tetapi orang lain (bertanggungjawab) terhadap pemindahan RM50 juta itu,” katanya.

Namun katanya, pihak pendakwaan berpendapat bahawa Najib melakukan kesalahan itu kerana setiausaha sulit perdana menteri ketika itu, Azlin Alias, memberi arahan bagi pihaknya.

Azlin meninggal dunia dalam satu nahas helikopter pada April 2015.

Terdahulu Karim mengarahkan Harvinder tidak mengulangi penghujahannya, tetapi hanya mengemukakan fakta menunjukkan hakim perbicaraan Mohd Nazlan didakwa tersilap atau tersalah.

Julai lalu, hakim Mohd Nazlan Mohd menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun ke atas Najib dan memerintahkannya membayar denda RM210 juta setelah mendapati beliau bersalah atas tujuh tuduhan rasuah berkaitan dengan RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Najib dituduh menyalahgunakan kuasanya sebagai perdana menteri dengan memberikan jaminan kerajaan atas pinjaman RM4 bilion SRC International dari Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan.

Beliau juga didakwa dengan tiga tuduhan pecah amanah dan tiga tuduhan pengubahan wang haram berkaitan wang RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd, bekas anak syarikat 1MDB.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.