Parti tempatan sukar menang kerusi Dayak luar bandar, kata penganalisis

Parti tempatan sukar menang kerusi Dayak luar bandar, kata penganalisis

Sesiapa yang ingin menang di kawasan luar bandar mesti membuktikan mereka mampu membawa lebih banyak projek infrastruktur.

Parti Bumi Kenyalang mahu meletakkan calon Dayak di 51 kerusi pada pilihan raya Sarawak akan datang.
KUCHING:
Meletakkan orang Dayak sebagai calon bukanlah satu taktik yang baik untuk parti lawan tempatan, Parti Bumi Kenyalang (PBK), membuka laluan di kerusi luar bandar Sarawak, yang menyaksikan keprihatinan sosio-ekonomi mengatasi aspirasi ideologi.

Oh Ei Sun dari Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura berkata, walaupun parti itu mengumumkan bahawa mereka akan meletakkan ramai calon Dayak pada pilihan raya negeri akan datang di kebanyakan kerusi majoriti kaum itu di luar bandar, ia tidak memberi mereka peluang menang lebih tinggi.

“Sesiapa yang ingin menang di kawasan luar bandar mesti membuktikan bahawa mereka mampu membawa lebih banyak projek infrastruktur yang dapat memberikan kelebihan sosial dan ekonomi.

“PBK bukan parti yang sudah terbukti berjaya melakukannya,” katanya kepada FMT.

Oh Ei Sun.

“Tanpa sokongan gabungan pemerintah Gabungan Parti Sarawak (GPS), parti itu kemungkinan hanya akan berakhir dengan memecah undi.”

Oh mengulas pengumuman PBK bahawa ia akan meletakkan 51 calon Dayak pada pilihan raya negeri akan datang untuk meraih sokongan masyarakat itu

Bagaimanapun, bekas ahli akademik Azmi Hassan berkata, PBK memberikan perhatian pada masyarakat Dayak sejak parti itu ditubuhkan pada 2013 dan strateginya mungkin akan berjalan lancar.

“Bukan sesuatu yang mengejutkan jika mereka dapat memenangi beberapa kerusi daripada GPS kerana orang Dayak mulai mengalihkan sokongan kepada parti pembangkang pada pilihan raya umum ke-14 pada 2018,” katanya.

Azmi Hassan.

“Barisan Nasional (BN) hilang penguasaan terhadap pengundi Dayak – itu penyebab mereka hilang enam kerusi majoriti Dayak pada PRU14.

“Kita menjangka trend seperti itu akan berlanjutan pada pilihan raya negeri. ”

Enam kerusi itu adalah Selangau, Lubok Antu, Julau, Saratok, Puncak Borneo dan Mas Gading, dengan empat dimenangi oleh Pakatan Harapan (PH) dan dua lagi oleh calon Bebas.

Azmi berkata, orang Dayak terdiri daripada 40% pengundi di Sarawak dan mempunyai kuasa untuk mengubah senario politik di negeri itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.