
Moganah Muthaya dan suaminya lalu ke bank untuk mengesahkan hal itu dan diberitahu rumah mereka dilelong kerana terdapat tunggakan bayaran balik pinjaman rumah selama tiga bulan, sejak Feb 2020.
Ibu dua anak ini berkata mereka patuh membayar sejak 2004 hingga Mac tahun lalu, dan kemudian memanfaatkan moratorium bayaran balik pinjaman bank yang disediakan kerajaan berikutan pandemik Covid-19, sepanjang April hingga September.
Namun, pihak bank memaklumkan bayaran ansuran dinaikkan daripada RM268 sebulan kepada RM325 – sejak Julai 2018.
Ini kali pertama mereka dimaklumkan mengenai kenaikan bayaran tersebut.
“Rumah yang kami diami hampir 17 tahun, bayar dengan hasil titik peluh kami, dilelong tanpa sebarang pemberitahuan, sedangkan kami hanya tinggal baki empat tahun nak habis bayar,” kata Moganah kepada FMT.
“Soal bank naikkan kadar bayaran rumah pun kami tidak dimaklumkan langsung. Tiada sebarang notis, surat, atau panggilan telefon. Sebab itu kami bayar ikut jumlah sebelum ini.”
Semalam, Moganah bersama suami dan ibunya ke Bank Negara (BNM) untuk merayu bank pusat campur tangan bagi menyelamatkan rumah mereka, yang dibeli pada harga RM35,000 dengan pinjaman sebanyak RM31,500 untuk 20 tahun.
Berapakah nilai tunggakan itu? RM975, kata Timbalan Pengerusi Nasional Parti Sosialis Malaysia (PSM), S Arutchelvan, dalam kenyataan yang menceritakan kronologi kejadian.
Beliau hadir bersama Moganah untuk melaporkan perkara ini kepada BNM. Menurut PSM, pihak bank menjelaskan peminjam tidak dimaklum mengenai kenaikan bayaran itu kerana tidak menerima kemas kini alamat dan nombor telefon peminjam.
“Mengapa rumah keluarga ini dilelong dengan tergesa-gesa? Mengapa akaun pinjaman perumahan dibekukan pada Mac 2020, sedangkan baki mencukupi dalam akaun simpanan?” kata Arutchelvan.
Suami Moganah, yang hanya ingin dikenali sebagai Murugan, bekerja di kilang dengan gaji bawah RM3,000. Keluarganya kini menumpang di rumah rakan dan beliau bimbang akan nasib isteri, anak, dan ibu mentua yang bawah tanggungannya.
“Selain kena cari duit untuk bayar deposit rumah baharu, saya juga terpaksa selalu ambil cuti untuk cari rumah lain dan ulang alik bank untuk selesaikan isu ini.”
“Cari rumah sekarang dengan harga yang rendah bukan senang,” kata Moganah pula.
Moganah juga berkata beliau sendiri ke cawangan bank di Seri Kembangan untuk mengemas kini alamat, ketika menyemak status pinjaman pada 2015.
Arutchelvan beritahu FMT bahawa pihak BNM memaklumkan ia akan menghubungi bank terbabit dan mengaturkan perjumpaan antara bank, keluarga Moganah, serta PSM.
“BNM berkata pihak mereka akan hantar makluman kepada pihak pengurusan bank dan selepas itu akan menghubungi kami semula,” kata beliau.