Covid-19 semakin sukarkan akses untuk penjagaan kesihatan, kata MMA

Covid-19 semakin sukarkan akses untuk penjagaan kesihatan, kata MMA

Dr Subramaniam Muniandy berkata keadaan yang sebelum mencabar bagi segelintir pihak mendapatkan akses penjagaan kesihatan semakin meruncing akibat Covid-19.

Seorang pakar dasar kesihatan awam bebas berkata, tidak dapat dinafikan Covid-19 menambah lagi ketidaksamaan kesihatan di negara ini, namun persoalannya adalah sejauh mana (ia memberi kesan).
PETALING JAYA:
Isu ketidaksamaan kesihatan adalah isu berterusan di Malaysia, di mana terdapat akses yang tidak sama ke penjagaan kesihatan, namun pandemik Covid-19 dan penutupan menjadikan masalah bertambah buruk, dengan komuniti tertentu seperti migran adalah yang paling terkesan.

Presiden Persatuan Perubatan Malaysia Dr Subramaniam Muniandy berkata “ketika sumber penjagaan kesihatan dan perhatian teralih kepada memerangi pandemik, apa yang mungkin mencabar akses penjagaan kesihatan bagi sesetengah pihak sudah menjadi akses yang tidak wujud.

“Jika sebelum ini wujud berat sebelah, diskriminasi atau stigma golongan serta komuniti rentan, Covid-19 menjarakkan lagi jurang itu dan mewujudkan lebih banyak lagi halangan untuk mereka mendapat akses penjagaan kesihatan,” katanya kepada FMT.

Antara kebanyakan komuniti, Covid-19 secara khususnya memberi impak kepada golongan migran dan pelarian, dengan warga asing terutama Rohingya turut disasarkan dalam kempen kebencian pada kemuncak pandemik itu tahun lalu.

Walaupun migran yang tidak mempunyai dokumen sah digalakkan tampil dan diuji Covid-19 tanpa bayaran di hospital kerajaan, tindakan tegas pihak berkuasa menyasarkan golongan itu tahun lalu dilihat sebagai langkah terkebelakang dalam pengurusan pandemik.

Dr Khor Swee Kheng, pakar dasar kesihatan awam bebas berkata, tidak dapat dinafikan Covid-19 menambah lagi ketidaksamaan kesihatan di negara ini, namun persoalannya adalah sejauh mana (ia memberi kesan).

“Pandemik ini telah meningkatkan ketidaksamaan itu terutama dengan mengalihkan fokus politik dan pembiayaan daripada rutin penjagaan kesihatan -seperti imunisasi kanak-kanak, kesihatan ibu dan penjagaan utama – kepada penjagaan pandemik.”

“Memandangkan Hari Kesihatan Sedunia ini mengingatkan kita, kerajaan Malaysia perlu membina sistem kesihatan yang lebih baik dan adil, supaya Covid-19 tidak akan meninggalkan legasi ketidaksamaan yang merosakkan ini,” katanya kepada FMT.

Subramaniam berkata, keperluan penjagaan kesihatan meningkat secara tidak seimbang terhadap belanjawan tahunan penjagaan kesihatan kerajaan, terutama dengan peningkatan kes penyakit tidak berjangkit.

Katanya, ekuiti penjagaan kesihatan perlu diutamakan dalam agenda politik kebangsaan dan malah organisasi penjagaan kesihatan, menyeru agar struktur dibuat dengan betul bagi menyokong inisiatif itu.

“Dalam jangka masa panjang, kita perlu berusaha untuk menghapuskan baki halangan untuk akses penjagaan kesihatan untuk semua orang melalui perundangan, pendidikan, toleransi dan penerimaan terhadap banyak perbezaan yang membentuk Malaysia.

“Kita perlu mengambil tindakan khusus untuk menangani penentu sosial individu atau masyarakat yang berdepan halangan untuk akses penjagaan kesihatan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.