
Wong Chin Huat berkata PH “memperjudikan” nasibnya, kerana yakin ia akan kekal sebagai kerajaan.
Namun, katanya, apa yang berlaku PH tumbang selepas hanya memerintah selama 22 bulan, kerana gagal melaksanakan pembaharuan yang diuar-uarkan, sebaliknya terlalu ghairah untuk menggantikan Barisan Nasional sebagai kuasa politik dominan.
“Oleh itu, ia tidak berminat untuk menghapuskan pendakwaan terpilih atau melaksanakan pembaharuan Parlimen secara menyeluruh. Saya rasa jika Umno sedang bangkit, ia tidak boleh mengulangi kesilapan PH.”

Beliau bercakap dalam webinar bertajuk “Recall Elections: A Solution to Party-Hopping in Malaysia?” anjuran Bait Al Amanah hari ini. Panelis lain termasuk pemimpin Umno, Shahrir Abdul Samad, Abdul Rahman Dahlan dan Shahril Hamdan serta Wong Shu Qi daripada DAP.
Wong berkata, ia adalah “realiti” Umno akan menjadi sebahagian daripada kerajaan seterusnya, tetapi ia masih tidak jelas sama ada ia akan memainkan peranan lebih senior atau junior.
Bagaimanapun, beliau mendapati ia “petanda baik” yang sesetengah pemimpin Umno kini bercakap mengenai pembaharuan politik kerana perkara itu ditekankan pembangkang sebelum ini.
“Dulu, jika anda fikir mengenai pembaharuan daripada ahli politik Umno, ia biasanya berlaku dalam parti serpihan mereka seperti Semangat 46, PKR dan PPBM. Ini kali pertama Umno mengambil serius pembaharuan politik.”
Beliau turut mengingatkan Umno jika mahu melakukan perubahan, nasionalisme orang Melayu tidak patut dikaitkan dengan autoritorianisme atau klientelisme, yang perlu disedari semua ahli parti itu.
Sementara itu, Shu Qi yang juga Ahli Parlimen Kluang berkata, ada keperluan untuk memahami perspektif orang ramai apabila melaksanakan pembaharuan politik di Malaysia.

Beliau mendapati orang ramai semakin sinis terhadap politik tempatan kerana wakil rakyat “mengecewakan rakyat dan menyebabkan negara huru-hara”, dengan memberi contoh pilihan raya negeri di Sabah tahun lalu.
“Mengadakan pilihan raya semula atau undang-undang anti-lompat parti tidak akan mempunyai sebarang kesan ke atas Sabah sama sekali. Kepentingan rakyat Sabah diabaikan sekian lama, dan tidak kira siapa yang berkuasa, tiada apa yang berubah.”
Untuk menjayakan pembaharuan, katanya, adalah penting mendidik orang ramai supaya mereka tahu politik tidak boleh menjadi permainan golongan elit.
Beliau berkata, rakyat perlu diperkasakan dan berhak bersuara ke atas wakil rakyat mereka, bukan hanya lima tahun sekali.