Vincent Tan letak jawatan pengerusi eksekutif Bcorp

Vincent Tan letak jawatan pengerusi eksekutif Bcorp

Beliau akan kekal sebagai ahli lembaga pengarah sebagai pengerusi bukan eksekutif.

Pengerusi Eksekutif Berjaya Corporation Bhd (BCorp) Vincent Tan Chee Yioun melepaskan jawatannya berkuat kuasa hari ini.
KUALA LUMPUR:
Pengerusi Eksekutif Berjaya Corporation Bhd (BCorp) Vincent Tan Chee Yioun melepaskan jawatannya berkuat kuasa hari ini, dan akan kekal sebagai ahli lembaga pengarah sebagai pengerusi bukan eksekutif.

Pengunduran itu sejajar dengan visi Tan untuk mentransformasikan BCorp Group kepada syarikat yang diinstitusikan serta diuruskan oleh golongan profesional, kata kumpulan itu dalam kenyataan.

Ia berkata, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Abdul Jalil Abdul Rasheed diberikan mandat untuk mengubah kumpulan itu menjadi sebuah organisasi berprestasi tinggi.

Di samping memperkemaskan pelbagai kumpulan perniagaan, meningkatkan nilai pemegang saham, mengoptimumkan sumber manusia dan kewangan, meningkatkan sinergi dan kecekapan serta meningkatkan tadbir urus korporat dan ketelusan.

Dalam kenyataan, Tan menzahirkan keyakinan terhadap Jalil dan Timbalan Pengerusi Eksekutif Robin Tan untuk menerajui BCorp Group, dan kumpulan itu berada pada pihak yang berwibawa dan mampu membawanya ke tahap lebih tinggi.

“Ia juga penting memberikan ruang dan kebebasan kepada Jalil untuk menerajui dengan caranya yang tersendiri.

“Saya kini boleh berundur daripada penglibatan seharian yang aktif dalam perniagaan kumpulan ini dan menumpukan lebih banyak masa dan tenaga dalam inisiatif kebajikan dan kepentingan lain,” katanya.

Sementara itu, Jalil, yang akan memanfaatkan tiga bulan pertama untuk melakukan tinjauan strategik ke atas BCorp Group berkata beliau kini sedang bekerjasama dengan Robin dan lembaga pengarah BCorp bagi memulakan proses peralihan dan membawa visi masa depan Tan ke mercu kejayaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.