Muhyiddin adakan pertemuan dengan Sultan Hasanal Bolkiah

Muhyiddin adakan pertemuan dengan Sultan Hasanal Bolkiah

Pertemuan empat mata itu diadakan di Istana Nurul Iman di Bandar Seri Begawan pagi tadi.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin diiringi isterinya Noorainee Abdul Rahman tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Bandar Seri Begawan semalam untuk lawatan rasmi dua hari beliau ke Brunei. (Gambar Facebook)
BANDAR SERI BEGAWAN:
Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengadakan pertemuan dengan Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah pada 11.10 pagi, hari ini.

Mesyuarat empat mata itu diadakan di Istana Nurul Iman. Sultan Hassanal Bolkiah juga merupakan perdana menteri Brunei.

Perbincangan meliputi perkembangan hubungan khas yang sedang berlangsung, meningkatkan hubungan dua hala dan meningkatkan kerjasama pasca Covid-19.

Ini antara lain termasuk perbincangan mengenai pewujudan Aturan Laluan Hijau Timbal Balas (RGL), memulakan kerjasama dalam diplomasi vaksin antara kedua-dua negara dan mempromosi kerjasama erat dalam bidang ekonomi serta isu serantau dan antarabangsa.

Hari ini merupakan hari terakhir Muhyiddin dalam lawatan rasmi dua hari ke negara ini sempena Rundingan Tahunan Pemimpin ke-23 Malaysia-Brunei Darussalam.

Muhyiddin dan Sultan Hassanal Bolkiah kemudian akan menyaksikan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) dan perjanjian.

MoU mengenai kerjasama dalam pengurusan bencana antara dua negara akan ditandatangani oleh Menteri Luar Hishammuddin Hussein dan Menteri Hal Ehwal Luar Negeri Kedua Brunei Awang Haji Erywan Mohd Yusof.

Perjanjian penyatuan antara Petronas dengan Sekretariat Penyatuan Nasional Brunei (BNUS) dalam sektor minyak dan gas pula akan dimeterai oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Tengku Muhammad Taufik Aziz dan Pemangku Menteri Tenaga Brunei Awang Haji Matsatejo Sokiaw.

Selepas itu, Muhyiddin akan menghadiri majlis “santap rasmi” yang akan dihoskan oleh Sultan Hassanal Bolkiah di istana sebelum mengakhiri lawatan rasminya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.