
Katanya, seluruh dunia terkesan akibat pandemik Covid-19 dan susulan itu setiap negara mempunyai positif dan negatifnya.
“Ada benda bagus, mahupun yang kurang bagus. Kami mahu masyarakat umum bersikap adil apabila membuat penilaian,” katanya kepada pemberita selepas taklimat mengenai ‘Membangunkan Malaysia dan Dunia’ di Jeffrey Sachs Center on Sustainable Development hari ini.
Mustapa yang lebih mesra digelar Tok Pa ditanya mengenai kebimbangan umum berhubung darurat, yang dilihat mungkin menyebabkan pelabur tidak mahu melabur di Malaysia.
Katanya, kerajaan maklum dengan kebimbangan rakyat.
“(Tetapi) ada juga positifnya. Pencapaian kita baik dalam beberapa bidang, dan kita berharap rakyat bersikap saksama apabila membuat sebarang kenyataan, tidak kira mengenai sektor apa,” katanya.
Pelaburan langsung asing bersih Malaysia jatuh 56% kepada USD3.4 bilion pada 2020, susulan kesan Covid-19 terhadap aktiviti ekonomi seluruh dunia.
Ekonomi Malaysia jatuh 5.6% tahun lalu iaitu prestasi terburuknya sejak merudum 7.4% pada 1998 ketika krisis kewangan Asia.
Pelaburan asing bersih berjumlah RM13.9 bilion pada 2020, iaitu jatuh berbanding RM31.7 bilion pada tahun sebelumnya, menurut laporan diterbitkan Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia (MIDA).
Pengasas dan Pengerusi Sunway Group Jeffrey Cheah, yang juga menganggotai Majlis Tindakan Ekonomi turut hadir.
Katanya, tahap pelaburan langsung asing (FDI) juga berkemungkinan pulih kerana pelabur mengenali negara ini.
“Mereka sukakan Malaysia kerana kepelbagaian kita, dan sistem pendidikan kita,” kata Cheah.
Beliau berkata, Sunway juga bakal mendapat pelaburan besar daripada sebuah kerajaan asing.
“Sehingga diumumkan kepada bursa saham, kami tidak boleh mengulas lanjut. Ia pelaburan besar daripada dana berdaulat luar negara,” tambahnya.
Cheah berkata, perniagaan runcit di Sunway Mall semakin baik memandangkan pelanggan sudah mula kembali ke pusat beli-belah itu.
“Orang ramai yang hadir pada waktu hujung minggu nampaknya kembali seperti sediakala, malah mungkin juga lebih dari dulu disebabkan permintaan yang melonjak (selepas PKP),” katanya.
Sementara itu, Tok Pa berkata pelbagai agensi kerajaan dan negeri setakat ini memohon sejumlah RM900 bilion bawah Rancangan Malaysia ke-12 2021-2025. Sehingga kini, RM69 bilion telah diperuntuk bagi pembangunan tahun ini.
Katanya, menangani Covid-19 dan menyelamatkan nyawa tetap menjadi keutamaan kerajaan.
“Kita perlu memastikan rakyat masih mampu makan. Inilah perkara paling utama,” katanya.
Ahli Parlimen Jeli itu berkata, disebabkan itu kerajaan negeri mungkin perlu lebih berhati-hati dalam memohon projek pembangunan.