

Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Pengguna Terengganu Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, seramai 3,665 pencari kerja hadir untuk temu duga bersama majikan di karnival itu.
“Daripada jumlah itu, seramai 936 orang layak menjalani temu duga kedua dan seterusnya 839 orang berjaya mendapat pekerjaan yang sesuai dengan kelulusan akademik serta kemahiran mereka.
“Ini adalah satu kejayaan yang membanggakan kerana penempatan 839 pekerjaan yang berlaku ini akan memberi limpahan ekonomi yang baik di dalam negeri Terengganu pada masa akan datang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Karnival anjuran Kementerian Sumber Manusia melalui Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan Pusat Pembangunan Sumber Manusia Terengganu (THRDC) itu bertujuan mengurangkan kadar pengangguran yang berlaku ketika ini.
Sebanyak 11,000 peluang pekerjaan ditawarkan dalam karnival itu dengan kekosongan terbanyak adalah dalam industri minyak dan gas dengan 3,998 kekosongan diikuti sektor perladangan 2,500 kekosongan.