Kerajaan cadang denda RM15 juta kepada pencemar sisa terjadual

Kerajaan cadang denda RM15 juta kepada pencemar sisa terjadual

Menteri Alam Sekitar dan Air, Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, ia antara cadangan pindaan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 yang sedang disemak semula kerana kompaun sedia ada sangat ringan.

Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, operator bekalan air perlu menanggung kos berjuta ringgit untuk menyediakan bekalan air ketika loji rawatan air ditutup akibat pencemaran yang berpunca daripada tindakan pihak lain.
KOTA BHARU:
Pihak yang melakukan pencemaran sisa buangan terjadual mungkin berdepan denda lebih berat sehingga RM15 juta, kata Menteri Alam Sekitar dan Air, Tuan Ibrahim Tuan Man.

Beliau berkata, ia antara cadangan pindaan dalam Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 yang sedang disemak semula kerana kompaun sedia ada terhadap pesalah sangat ringan.

“Kita mahu naikkan denda sehingga RM15 juta serta mengenakan hukuman penjara mandatori,” katanya selepas menyempurnakan majlis cabutan kerja undi di bawah peruntukan kementeriannya peringkat Kelantan.

“Ini kerana apabila berlaku pencemaran, loji air terpaksa ditutup, operator air terpaksa sediakan lori untuk hantar bekalan air kepada penduduk tanpa dicaj, tetapi operator perlu tanggung kos berjuta ringgit untuk sediakan bekalan air sepanjang loji ditutup, sedangkan pihak lain yang buat pencemaran.”

Beliau berkata, akta itu dijangka dibentangkan pada sidang Parlimen akan datang.

Seksyen 34B Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 menyatakan tiada seorangpun:

a) boleh menempatkan, meletakkan atau melupuskan atau menyebabkan atau membenarkan ditempatkan, diletakkan atau dilupuskan, kecuali di premis yang ditetapkan saja, apa-apa buangan terjadual di darat atau ke dalam perairan Malaysia;

b) menerima atau menghantar, atau menyebabkan atau membenarkan diterima atau dihantar apa-apa buangan terjadual di dalam atau di luar Malaysia; atau

c) mentransit atau menyebabkan atau membenarkan atau membenarkan ditransit buangan terjadual, tanpa terlebih dahulu mendapat apa-apa kelulusan daripada ketua pengarah.

Mengikut akta itu, mana-mana orang yang melanggar seksyen itu boleh didenda tidak melebihi RM500,000 atau dipenjarakan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.