
“Pada masa sama, mereka juga tidak patut memperkecilkan peranan parti lain. Ini politik lama,” katanya dalam ucapan pada Perhimpunan Agung MIC hari ini.
Pengerusi gabungan Perikatan Nasional (PN) itu berkata, dalam era politik baharu ini, semua parti mempunyai peranan dan sumbangan sama penting untuk menjaga kebajikan rakyat dan memajukan negara.
“Kita perlu mengamalkan budaya politik yang berasaskan persefahaman, perundingan dan konsensus dalam mencari jalan terbaik memelihara kestabilan politik, membela nasib rakyat dan memacu kemajuan negara.”
Muhyiddin berkata, kepentingan individu atau kelompok kecil bukan fokus kerajaan pimpinannya kerana rakyat dan masa depan negara wajar menjadi keutamaan semua pihak.
Dalam konteks ini, beliau mengucapkan terima kasih kepada pucuk pimpinan MIC menyokong kerajaan PN kerana pendirian rasional itu membantunya bergungdi dengan baik, khasnya dalam waktu sukar ini.
“Saya berharap sokongan MIC kepada PN bukan sahaja pada masa ini, tetapi juga pada masa akan datang.
“Saya percaya sekiranya kita berada di landasan sama, dalam saf sama, kita akan dapat bersama-sama menyumbang kepada kemajuan dan kemakmuran negara yang pastinya akan memberikan manfaat besar kepada semua rakyat tanpa mengira kaum.”
Mengenai pelantikan Timbalan Presiden MIC, M Saravanan sebagai menteri sumber manusia, perdana menteri berkata, ia bukan berdasarkan kedudukannya dalam Barisan Nasional, tetapi sebagai wakil MIC dalam PN untuk berkhidmat kepada masyarakat India.
“Ini untuk menunjukkan kepada rakyat bahawa PN mengiktiraf peranan semua kaum. Saya fikir pimpinan MIC faham akan situasi yang dihadapi negara dan rakyat pada masa ini dan terus memberikan sokongan kepada kerajaan.”
Muhyiddin berkata, beliau akan memastikan masyarakat India mendapat manfaat besar daripada Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 yang dilancarkan tahun lalu.
“Tidak ada sesiapa pun yang akan ketinggalan dalam menikmati hasil kemajuan dan pembangunan negara. Ini janji kami kepada anda.”