Terlalu awal bagi PAS, PPBM untuk tolak penjajaran baharu selepas PRU15, kata MB Perak

Terlalu awal bagi PAS, PPBM untuk tolak penjajaran baharu selepas PRU15, kata MB Perak

Apa sahaja boleh berlaku dalam politik kerana ia bersifat dinamik, kata menteri besar Perak.

Baru-baru ini, PAS dan PPBM mengumumkan mereka akan menolak sebarang bentuk “penjajaran baharu” untuk menubuhkan kerajaan pasca-PRU15.
GERIK:
Masih terlalu awal untuk PAS dan PPBM menolak sebarang bentuk penjajaran politik baharu selepas pilihan raya umum ke-15 (PRU15), kata Menteri Besar Perak Saarani Mohamad.

Kata beliau, apa sahaja boleh berlaku dalam politik kerana ia bersifat dinamik.

“Suatu ketika, PAS berkelahi dengan Umno selama 60 tahun, tiba-tiba kita boleh buat Muafakat Nasional (MN). Baik dan elok pula duduk bersama.

“Bila sampai masanya nanti, ia akan merubah segala-galanya. Kalau orang tanya saya, saya jawab ikut skrip Tuhan sahaja. Itu lagi senang,” kata beliau kepada pemberita selepas menghadiri program Mahabbah Jalinan Kasih di Maahad Tahfiz dan Kemukjizatan Al-Quran di Kampung Ulu Kenderong, di sini hari ini.

Baru-baru ini, PAS dan PPBM mengumumkan mereka akan mengukuhkan kerjasama bagi menghadapi PRU15.

Tanpa menyebut siapa yang dimaksudkan, PAS dan PPBM juga menegaskan mereka menolak sebarang bentuk “penjajaran baharu untuk menubuhkan kerajaan pasca-PRU15, terutama yang melibatkan PH dan sekutunya”.

Dalam kenyataan bersama, kedua-dua parti itu turut bersetuju menubuhkan mekanisme peringkat pusat bagi memutuskan pengagihan kerusi untuk pilihan raya.

Sementara itu, PAS dan PPBM Perak dalam kenyataan bersamanya semalam juga berkata, mereka akan mengenal pasti kerusi-kerusi yang berpotensi untuk ditandingi di peringkat negeri.

Mengulas isu itu hari ini, Saarani berkata, perkara itu bukan sesuatu yang memeranjatkan.

“Kita faham yang PAS dan PPBM berkolaborasi dalam PN, jadi betullah yang mereka akan agihkan kerusi. Begitu juga kita di Barisan Nasional (BN), kita juga akan agihkan kerusi dengan parti komponen lain, dengan MCA dengan MIC,” kata beliau.

Dalam pada itu, menjawab pertanyaan pemberita mengenai kenyataan pemimpin PAS yang mengatakan bahawa Umno akan kehilangan lebih banyak kerusi sekiranya bergerak solo tanpa PN, Saarani berkata: “Jika ditanya kepada musuh,memang itulah jawapannya.”

“Bagaimanapun, kita tiada kebimbangan mahupun kegusaran dan menyerahkan kepada Allah yang merupakan sebaik-baik perancang. Saya yakin Umno akan kekal,” kata beliau, yang juga pengerusi Umno Perak.

Terdahulu, Naib Presiden PAS Mohd Amar Nik Abdullah dilaporkan berkata, melihat kepada situasi politik semasa, tiada satu parti pun yang akan berjaya membentuk kerajaan tanpa menjalinkan kerjasama dengan rakan sekutu lain, merujuk kepada keputusan Umno baru-baru ini untuk untuk memutuskan hubungan dengan PPBM dan bergerak solo pada PRU15.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.