PN bangunkan gabungan besar ikut acuan politik baharu, kata Saifuddin

PN bangunkan gabungan besar ikut acuan politik baharu, kata Saifuddin

Kata pengerusi PN Pahang itu, keputusan gabungan yang dipimpin Muhyiddin Yassin itu dibuat berasaskan perundingan, bukan dominasi satu parti.

Kata Saifuddin Abdullah, keputusan gabungan yang dipimpin Muhyiddin Yassin itu dibuat berasaskan perundingan, bukan dominasi satu parti.
PETALING JAYA:
Perikatan Nasional (PN) sedang membangunkan satu gabungan besar parti politik yang menyatukan rakyat dengan adil dan saksama, inklusif dan harmoni.

Ini akan dilakukan dalam acuan politik baharu yang berfungsi, prihatin dan stabil, kata Pengerusi PN Pahang Saifuddin Abdullah.

Kata beliau, keputusan gabungan yang dipimpin Perdana Menteri Muhyiddin Yassin itu dibuat berasaskan perundingan, bukan dominasi satu parti.

“Dalam Barisan Nasional, Umno parti dominan. Jawatan-jawatan utama BN – pengerusi, timbalan pengerusi, setiausaha agung, bendahari, ketua wanita, ketua pemuda, ketua enerangan – dipegang Umno. Dalam PN, ia dikongsi sesama parti komponen.

“Dalam Pakatan Harapan, tiada parti yang dominan, tapi keadaan di mana ia disokong oleh ‘majoriti besar golongan minoriti’ dan ‘hanya minoriti kecil golongan majoriti’ menyebabkan ia tidak bertahan lama,” kata beliau di Facebook.

Muhyiddin ketika berucap pada mesyuarat agung MIC pagi tadi berkata, Malaysia kini memasuki era politik baharu yang menyaksikan tiada parti boleh mendakwa ia dominan dan berhak memegang tampuk kuasa dalam kerajaan.

Pengerusi PN itu berkata, dalam era politik baharu ini, semua parti mempunyai peranan dan sumbangan sama penting untuk menjaga kebajikan rakyat dan memajukan negara.

Saifuddin, yang juga Pengerusi PPBM Pahang, bersetuju dengan Muhyiddin, dan berkata, beliau yakin PN belajar daripada kelemahan BN dan PH dalam membangunkan gabungan itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.