Pembinaan MRT3 dijangka bermula separuh kedua tahun ini

Pembinaan MRT3 dijangka bermula separuh kedua tahun ini

Projek MRT3 ditangguhkan kerajaan PH sebelum ini dengan alasan bagi mengurangkan bebanan hutang kerajaan.

Menurut Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong, MRT Corp diberi tempoh tiga bulan untuk mengkaji pelaksanaan projek MRT3 untuk dibentangkan kepada Jemaah Menteri.
SUNGAI BULOH:
Kerja-kerja pembinaan Projek Laluan 3 Aliran Transit Massa (MRT3) yang ditangguhkan oleh kerajaan terdahulu akan dimulakan pada separuh kedua tahun ini.

Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong berkata, pihaknya telah memberi tempoh tiga bulan kepada Mass Rapid Transit Corporation (MRT Corp) untuk melakukan kajian pelaksanaan projek berkenaan untuk dibentangkan kepada Jemaah Menteri.

“Dalam mesyuarat (Jemaah Menteri) baru-baru ini, kerajaan telah bersetuju untuk meneruskan projek MRT3 dan MRT Corp diberi tempoh selama tiga bulan untuk mengemas kini kajian melibatkan jajaran dan kos projek ini,” kata beliau kepada pemberita selepas melakukan pemeriksaan ketersediaan operasi MRT laluan Putrajaya fasa satu dari Stesen MRT Sri Damansara Sentral ke Stesen MRT Kampung Batu, Kuala Lumpur sepanjang 17.5km.

Turut hadir, Timbalan Menteri Kewangan 1 Abd Rahim Bakri dan Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan Isham Ishak.

Menurut Wee kos projek berkenaan kelak akan diputuskan berdasarkan kajian oleh MRT Corp dan memberi jaminan kerajaan akan membuat pilihan yang paling menguntungkan dan memanfaatkan rakyat.

Pada 2018, menteri pengangkutan ketika itu, Anthony Loke Siew Fook dilaporkan berkata, pembinaan MRT3 ditangguhkan bagi mengurangkan bebanan hutang kerajaan.

Mengulas mengenai MRT Laluan Putrajaya, Wee berkata, projek berkenaan kini 97% siap dan dijangka akan memulakan operasinya Ogos depan.

Tambah beliau, baki 3% projek laluan sepanjang 17.5km itu kini hanya melibatkan aktiviti pengujian dan pentauliahan sistem mekanikal dan elektrik serta operasi percubaan.

“Operasi percubaan akan melibatkan bahagian laluan yang akan beroperasi tanpa membawa penumpang,” kata beliau.

Tambah Wee lagi, fasa kedua melibatkan baki laluan antara Kampung Batu ke Putrajaya yang sedang berjalan kini di peringkat 87% siap dan dijangka memulakan operasi pada Jan 2023.

Kos keseluruhan pembinaan MRT Laluan Putrajaya adalah RM30.53 bilion.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.