
Beliau berkata keputusan akhir akan diserahkan kepada budi bicara Ketua Menteri Abang Johari Openg dan pemimpin Sarawak yang lain.
“Kami akan terus berbincang dengan Gabungan Parti Sarawak (GPS), rakan-rakan dalam Perikatan Nasional dan membuat keputusan kemudian jika PPBM akan bertanding pada pilihan raya negeri,” katanya kepada pemberita selepas melawat projek menaik taraf Hospital Umum Sarawak hari ini.
“Perkara paling penting ialah kita mesti mendapat sokongan pengundi. Pembahagian kerusi adalah nombor dua.”
“Kami mahu GPS mencapai kemenangan besar-besaran, memenangi lebih banyak kerusi dan membentuk kerajaan Sarawak sekali lagi,” katanya.
Muhyiddin, yang juga presiden PPBM, memberi jaminan bahawa partinya dan PAS di Sarawak akan memberikan sokongan penuh kepada GPS selagi tidak menimbulkan perpecahan di antara parti-parti PN.
GPS adalah gabungan yang melibatkan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP). Semuanya adalah parti yang berpusat di Sarawak dan tidak mahu parti yang berpusat di Semenanjung bertanding di negeri itu.
Kini, PPBM mempunyai satu kerusi DUN di Sarawak, iaitu Krian. Adunnya Ali Biju memenangi kerusi itu dengan tiket PKR tetapi keluar dari parti itu untuk bergabung dengan PPBM tahun lalu.
Mengenai keputusan kerajaan persekutuan untuk mengemukakan rayuannya terhadap keputusan Mahkamah Tinggi baru-baru ini bahawa orang Kristian dibenarkan menggunakan kalimah “Allah”, Muhyiddin berkata, beliau akan menyerahkan perkara itu kepada mahkamah.
“Saya tidak mahu mengulas lebih lanjut mengenainya kerana saya rasa tidak sesuai untuk meluahkan perasaan peribadi saya sekarang. Mari tunggu mahkamah membuat keputusannya.”
Sementara itu, beliau juga bersetuju dengan presiden PAS Abdul Hadi Awang yang meminta kumpulan Islam untuk bekerjasama dan bersatu di bawah PN, yang kepemimpinannya berlandaskan nilai-nilai Islam dan prinsip integriti.
“Ya, beliau betul kerana bercakap untuk kumpulan Muslim dan Melayu. Tetapi, sebagai kerajaan yang dibentuk oleh parti-parti pelbagai bangsa dan agama, kita memerlukan sokongan semua orang,” katanya.
Beliau juga berkata bahawa Majlis Keselamatan Negara pada dasarnya telah bersetuju dengan cadangan Sarawak untuk memberikan vaksin Covid-19 kepada mereka yang berada di zon merah terlebih dahulu.
Bagaimanapun, MKN perlu menilai cadangan itu secara terperinci kerana terdapat banyak zon merah di negeri lain juga.
“Bukannya kita tidak ingin memberikan vaksin, tetapi bekalan agak terhad memandangkan vaksin tiba mengikut kumpulan,” katanya
Beliau berkata, walaupun kerajaan Sarawak diizinkan membeli vaksinnya sendiri, tidak mudah mendapatkan vaksin tersebut.
“Bahkan beberapa negara pun belum mendapat vaksin,” katanya.