Exco: Gelembung perjalanan rancak semula sektor pelancongan di Pahang

Exco: Gelembung perjalanan rancak semula sektor pelancongan di Pahang

Exco pelancongan negeri Mohd Sharkar Shamsudin berkata, selain berada di bawah penguatkuasaan PKPP, pelbagai produk pelancongan di Pahang menarik minat pengunjung.

Pahang mempunyai pilihan lokasi pelancongan, antaranya alam semula jadi, pantai dan terbaharu Menara Kuantan 188 yang dilihat dapat menarik minat pengunjung. (Gambar Bernama)
KUANTAN:
Kebenaran gelembung pelancongan bersasar dilihat mula merancakkan semula sektor pelancongan di negeri Pahang, kata pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Negeri Mohd Sharkar Shamsudin.

Tanpa mendedahkan jumlah pelancong yang diterima setakat ini, beliau berkata, selain berada di bawah penguatkuasaan perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP), pelbagai produk pelancongan di Pahang turut menarik minat pengunjung.

“Kita sudah mula menerima pelancong dari negeri luar dengan prosedur yang ditetapkan dan diurus oleh agensi pelancongan, antaranya ke Cameron Highlands.

“Pahang mempunyai pilihan lokasi pelancongan yang pelbagai, antaranya alam semula jadi, pantai dan terbaharu mercu tanda seperti Menara Kuantan 188 yang dilihat dapat menarik minat pengunjung.

Mohd Sharkar Shamsudin.

“Justeru, kini kami akan jalankan promosi secara berterusan terutama melalui platform media sosial,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas program “This Is Pahang: Business Networking At The Peak” di Menara Kuantan 188, di sini, malam tadi.

Ia bertujuan mempromosi dan memberi pendedahan kepada agensi pelancongan di luar Pahang mengenai produk serta destinasi menarik di negeri tersebut.

Menurut Mohd Sharkar, inisiatif itu merupakan antara usaha kerajaan Pahang untuk memeriahkan semula sektor pelancongan yang terjejas teruk susulan penularan Covid-19.

Dalam pada itu, beliau mencadangkan supaya pemain industri pelancongan turut diberikan keutamaan untuk menerima vaksin memandangkan golongan berkenaan juga “barisan hadapan” dalam sektor tersebut.

“Ia bagi memberi keyakinan kepada pelancong, sekali gus akan memberi impak positif kepada industri ini yang merupakan antara sektor penyumbang kepada pendapatan negara,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.