Bicara kes saman Zakir Naik terhadap Ramasamy ditetap 20 Disember depan

Bicara kes saman Zakir Naik terhadap Ramasamy ditetap 20 Disember depan

Tarikh perbicaraan yang ditetapkan sebelum ini pada 22 hingga 26 Mac lepas dilapangkan berikutan pelaksanaan PKPB ketika itu.

Pendakwah bebas Dr Zakir Naik memfailkan dua saman terhadap Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang P Ramasamy kerana memfitnah.
KUALA LUMPUR:
Mahkamah Tinggi hari ini menetapkan 20 Dis 2021 sebagai tarikh baharu perbicaraan dua kes saman fitnah difailkan penceramah bebas Dr Zakir Naik terhadap Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang P Ramasamy.

Dua saman yang difailkan secara berasingan pada Okt dan Dis 2019 itu yang mendakwa Ramasamy mengeluarkan kenyataan fitnah membabitkan pendakwah bebas itu, selain mengaitkannya dengan isu kumpulan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE), akan dibicarakan secara bersama kerana melibatkan defendan yang sama.

Peguam Akberdin Abdul Kader yang mewakili Zakir selaku plaintif berkata, hakim Mohd Firuz Jaffril menetapkan 20 hingga 22 Dis ini dan 14 hingga 17 Mac 2022 untuk perbicaraan kes.

“Tarikh perbicaraan yang ditetapkan mahkamah sebelum ini pada 22 hingga 26 Mac lepas dilapangkan berikutan tempoh pelaksanaan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) ketika itu,” katanya kepada pemberita selepas pengurusan kes di hadapan hakim Mohd Firuz hari ini.

Akberdin berkata, pihaknya akan memanggil seramai lima saksi, termasuk Zakir untuk memberi keterangan pada perbicaraan kes saman itu, manakala defendan mengemukakan enam saksi.

Peguam itu juga berkata, mahkamah menetapkan 22 Nov ini untuk pengurusan kes selanjutnya bagi pihak terlibat memaklumkan perkembangan mengenai dokumen yang disediakan untuk perbicaraan.

Pada 16 Okt 2019, Zakir menyaman Ramasamy selaku defendan dengan mendakwa pada 10 April 2016 kerana memfitnah apabila memanggil beliau (Zakir) dengan gelaran yang tidak sopan di laman Facebook milik defendan.

Defendan juga sekali lagi mengeluarkan kenyataan fitnah terhadap plaintif pada 1 Okt 2017, dengan artikel mengenainya dimuat naik di laman portal Free Malaysia Today (FMT), pada hari sama.

Beliau mendakwa pada 11 Ogos 2019, defendan memanipulasikan jawapannya ketika berucap dalam ceramah dianjurkan oleh kerajaan negeri Kelantan dan disiarkan di laman portal FMT pada hari sama.

Zakir juga mendakwa, defendan pada 20 Ogos tahun sama, turut mengeluarkan kenyataan fitnah terhadap plaintif, yang disiarkan media antarabangsa, India Today.

Pada Dis 2019, Zakir sekali lagi menyaman Ramasamy selepas mendakwa defendan memfitnahnya, melalui komen yang disiarkan dalam portal The Malaysian Insight berhubung isu LTTE.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.