
Jawatankuasa pemandu Penang Forum dalam kenyataan berkata, kegagalan itu ketara selepas kerajaan negeri mengumumkan sebuah syarikat swasta dibenarkan menambak sebuah pulau buatan, dan secara berperingkat.
Katanya, ini menunjukkan projek itu tersasar daripada matlamat asal.
Menurutnya, kerajaan Pulau Pinang sepatutnya menghentikan projek itu sama sekali kerana wujud percanggahan kepentingan yang jelas.
Pulau Pinang merancang menambak tiga pulau pada 2015, dengan tanah itu akan dijual untuk membiayai projek LRT dan lebuh raya. Projek itu ditawarkan kepada SRS Consortium.
Tetapi, minggu lalu, diumumkan sebahagian daripada tambakan laut untuk sebahagian daripada pulau pertama akan dilakukan secara swasta oleh SRS, melalui sebuah syarikat usaha sama 70:30 dengan kerajaan negeri.
Penang Forum berkata, berita terbaharu itu tidak mengejutkan kerana pada zahirnya, PTMP mengenai kemudahan pengangkutan kini tersasar.
“Sekarang, ramai boleh nampak ia secara jelas hanya didorong tambakan laut,” kata kumpulan itu.
Katanya, ia membantah projek itu dilakukan pemaju kerana SRS terdiri daripada tiga pemaju yang kekurangan pengalaman dalam merangka pelan pengangkutan bersesuian yang tertumpu menggerakkan rakyat, bukannya kenderaan.
Menurutnya, dengan membenarkan sebahagian daripada sebuah pulau itu ditambak secara swasta, negeri itu akan menerima dana untuk membiayai jajaran 2.4km daripada Lebuhraya Pan Island Link sepanjang 19.5km yang penuh kontroversi, serta jejambat 5.3km menghubungkan pulau buatan itu dengan pulau utama.
Katanya, lebih banyak jalan raya bukannya idea progresif ketika dunia cuba mengurangkan pelepasan karbon dan tambakan laut juga akan menyebabkan kerosakan kekal kepada perairan perikanan utama.
Penang Forum berkata, jika negeri itu menggunakan cetak biru asal pengangkutan yang dibuat hasil rundingan dengan masyarakat awam, yang digelar pelan pengangkutan Halcrow, sistem transit bas moden dan pengangkutan air boleh diperkenalkan.
“Kerajaan Pulau Pinang sepatutnya hanya menamatkan perjanjian rakan penyampaian projek itu dengan SRS, bukannya memeterai perjanjian tambahan untuk sesuatu yang sangat berbeza daripada cadangan asal pada 2015.”