Komponen kotak hitam pesawat Sriwijaya Air ditemui

Komponen kotak hitam pesawat Sriwijaya Air ditemui

CVR itu dijumpai di dasar laut di Pulau Laki , di kawasan perairan Kepulauan Seribu, lokasi pesawat itu terhempas.

(Gambar Bernama)
JAKARTA:
Satu lagi komponen kotak hitam pesawat Sriwijaya Air yang terhempas pada 9 Jan lalu iaitu “Cockpit Voice Recorder” (CVR) ditemukan pihak berkuasa Indonesia semalam.

Menteri Perhubungan Indonesia Budi Karya Sumadi dalam sidang media hari ini berkata CVR itu dijumpai di dasar laut di Pulau Laki , di kawasan perairan Kepulauan Seribu, lokasi pesawat itu terhempas.

Ia dijumpai tidak jauh daripada tempat sebuah lagi komponen kotak hitam iaitu “Flight Data Recorder (FDR)” yang ditemui pada 12 Jan lalu.

“Pasukan pencari daripada Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan Indonesia (Basarnas) dan tentera Indonesia menemui CVR pada jam 8.05 malam tadi.

“Penemuan ini akan dapat melengkapkan lagi proses siasatan nahas berkenaan,” katanya dalam sidang media di Jakarta International Container Terminal (JICT) 2, di sini.

Penerbangan pesawat Boeing 737-500 Sriwijaya Air dari Jakarta ke Pontianak yang membawa 62 penumpang termasuk 12 anak kapal itu terputus hubungan dengan menara kawalan sejurus berlepas dan menjunam ke laut.

Menurut Budi Karya, setakat ini pasukan pencari telah mengenal pasti 59 daripada 62 mangsa yang terkorban menerusi hasil ujian DNA, “antermortem” dan “postmortem”, pada cebisan mayat.

Punca nahas masih disiasat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.