Kitar semula sisa sendiri, NGO beritahu AS ‘kaya’

Kitar semula sisa sendiri, NGO beritahu AS ‘kaya’

Sahabat Alam Malaysia berkata, tidak adil untuk negara kaya seperti AS menghantar sisa mereka ke negara membangun untuk dikitar semula.

Sahabat Alam Malaysia berkata, rekod menunjukkan 9,800 tan sisa plastik ‘bersih’ dieksport dari AS ke Malaysia pada Januari 2021 saja dan berharap pihak berkuasa sudah memeriksa semua kontena itu.
PETALING JAYA:
Sebuah kumpulan pencinta alam meminta Amerika Syarikat tidak menghantar sisanya ke negara membangun dan mengitar semula sampah mereka sendiri, selepas satu konsainan sisa dari kuasa besar itu tiba di Malaysia baru-baru ini.

Presiden Sahabat Alam Malaysia, Meenakshi Raman berkata, negara kaya seperti AS sepatutnya mempunyai kemampuan untuk menguruskan sisanya sendiri.

“Mengalihkan tanggungjawab menangani sisa plastik mereka kepada negara membangun dan kekurangan sumber adalah satu ketidakadilan.

“AS tidak sepatutnya mengeksport sisa. Ia perlu bertanggungjawab terhadap sisa sendiri dan kitar semula sisa yang dijana di negara mereka sendiri,” katanya dalam kenyataan.

Meenakshi berkata, mengitar semula plastik tidak patut dijadikan alasan untuk menghasilkan lebih banyak barangan plastik, khasnya plastik pakai buang.

“Ketika seluruh dunia terpaksa menghadapi impak daripada sisa plastik, pihak korporat dan perniagaan yang mewujudkan masalah plastik perlu menangani masalah ini dengan segera.

“Kita perlu bergerak ke arah sisa sifar.”

Baru-baru ini, Malaysia dilaporkan membenarkan kemasukan satu kontena sisa plastik dari AS selepas mendapati ia hanya mengandungi bahan bersih, boleh dikitar semula dan tidak melanggar perjanjian baru Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu yang melarang perdagangan plastik tercemar.

Malaysia menjadi destinasi utama sisa plastik dunia selepas China melarang pengimportan pada 2018. Sejak beberapa tahun lalu, Malaysia memulangkan ribuan tan sisa plastik ke negara asalnya.

Meenakshi memuji Kementerian Alam Sekitar dan Air yang melakukan pemeriksaan teliti ke atas penghantaran disyaki sisa plastik dari AS.

Bagaimanapun, katanya, berdasarkan data terbuka, sebanyak 9,800 tan sisa plastik di bawah kod HS3915 dieksport dari AS ke Malaysia pada Januari 2021 saja.

“Kami berharap pihak berkuasa memeriksa setiap kontena mengandungi sisa plastik yang memasuki pelabuhan kita, bukan hanya dari AS, tetapi negara lain juga, memandangkan bukan semua plastik ini mungkin bersih atau sejenis.”

AS, yang menghasilkan lebih banyak sisa plastik per kapita berbanding negara lain, ialah satu-satunya negara besar yang tidak mengiktiraf Konvensyen Basel dan tidak terikat kepada peraturannya.

Di bawah triti itu, Malaysia tidak boleh menerima sisa plastik dilarang dari AS. Malaysia menandatangani konvensyen itu yang berkuat kuasa 1 Jan.

Di bawah perjanjian itu, penandatangan hanya boleh menerima sisa plastik yang bersih dan mudah dikitar semula.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.