FGV pertingkat amalan buruh, tangani Perintah Kawalan Pelepasan Tahan AS

FGV pertingkat amalan buruh, tangani Perintah Kawalan Pelepasan Tahan AS

FGV berusaha memperbaiki struktur, sistem bagi meningkatkan amalan buruh termasuk menyelaraskan polisi dan kod dengan standard antarabangsa.

FGV berkata syarikat itu mengutamakan usaha untuk membatalkan perintah berkenaan.
KUALA LUMPUR:
FGV Holdings Bhd terus meningkatkan amalan buruhnya bagi menangani Perintah Kawalan Pelepasan Tahan (WRO) yang dikeluarkan oleh Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) Amerika Syarikat pada 30 Sept 2020, terhadap produk sawit dan minyak sawit yang dihasilkan oleh FGV termasuk anak syarikatnya.

FGV sangat mengutamakan usaha untuk membatalkan WRO dan telah menerapkan pendekatan holistik untuk menyelesaikan penemuan oleh CBP yang berkaitan, kata kumpulan itu dalam satu kenyataan hari ini.

Sebagai sebahagian daripada usaha tersebut, FGV terus bekerjasama dengan Fair Labor Association (FLA) untuk memperbaiki struktur dan sistem bagi meningkatkan amalan buruhnya termasuk menyelaraskan polisi dan kod-kod dengan standard antarabangsa.

“Pada November 2020, FGV mengguna pakai Polisi Kelestarian Kumpulan (GSP) yang telah disemak semula yang mana peruntukan mengenai tenaga buruh diperkasakan berdasarkan Kod Tingkah Laku Tempat Kerja FLA.

“FGV juga mengukuhkan prosedur bagi pengambilan pekerja migran dan akan menambah penilaian prasumber untuk proses pemilihan agensi perekrutan,” kata syarikat itu.

Pada Februari dan Mac 2021, FLA menjalankan pengesahan kedua untuk menilai kemajuan FGV dalam melaksanakan pelan tindakannya di bawah gabungan FLA dan laporan kemajuan akan diterbitkan oleh FLA pada 31 Mac, 2021.

Bagaimanapun, FGV berkata, ia telah mengadakan perbincangan dengan FLA mengenai isi laporan dan mengambil maklum jurang yang diketengahkan oleh FLA mengenai beberapa aspek termasuk mekanisme rungutan FGV, prosedur pemulihan dan struktur perwakilan pekerja.

“Kami akan terus bekerjasama dengan FLA untuk menginstitusikan mekanisme bagi mengatasi jurang ini, dan untuk mengukuhkan dan meningkatkan lagi amalan buruh kami,” katanya.

Kumpulan itu berkata, untuk melengkapkan usaha ini, ia telah menubuhkan Jawatankuasa Kerja Pekerja Asing (FWWC), untuk melihat penambahbaikan berterusan terutamanya menaik taraf infrastruktur di lapangan bagi memastikan kesejahteraan pekerja dijaga sepenuhnya.

“Sebagai contoh, selain daripada RM350 juta yang dilaburkan sejak tiga tahun lalu bagi membina 319 blok perumahan baharu pekerja, FGV memperuntukkan dana tambahan berjumlah RM43 juta pada 2021 untuk meningkatkan lagi kemudahan bagi pekerja.

“Ini termasuk membaik pulih perumahan lama di 169 ladang dan menaik taraf peralatan untuk memastikan bekalan elektrik dan air tanpa gangguan terutamanya di kawasan yang tidak memiliki akses kepada grid nasional dan bekalan air yang disediakan oleh negeri,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.