Bukan bulan madu, Neelofa, PU Riz ke Langkawi atas urusan kerja

Bukan bulan madu, Neelofa, PU Riz ke Langkawi atas urusan kerja

Pasangan itu ke Langkawi bagi tujuan pembukaan cawangan baharu, menurut Chatime Malaysia.

Sebelum ini, gambar majlis pernikahan Neelofa dan PU Riz mengundang pelbagai spekulasi di media sosial kerana dilihat tidak mematuhi SOP. (Gambar Instagram)
PETALING JAYA:
Pembekal makanan dan minuman Chatime Malaysia Sdn Bhd mengesahkan pengacara dan usahawan, Neelofa serta suami, PU Riz, berada di Langkawi atas urusan kerja.

Pengarah Urusan Kumpulan Chatime Malaysia Aliza Ali berkata, pasangan itu menjalankan lawatan kerja ke tiga lokasi di zon utara, iaitu Sungai Petani dan Langkawi di Kedah, dan Kangar, Perlis bagi tujuan pembukaan cawangan baharu.

“Lawatan ini juga membabitkan beberapa kakitangan dan bahagian operasi serta pengurusan Chatime Malaysia,” kata beliau dalam kenyataan yang dikongsikan di Instagram Chatime Malaysia, semalam.

Aliza berkata, kebenaran merentas negeri ke Langkawi diperoleh daripada balai polis mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Sejak kelmarin, beberapa gambar memaparkan Neelofa dan PU Riz, atau nama sebenarnya, Haris Ismail, dalam perjalanan ke Langkawi tular di media sosial, mengundang pelbagai spekulasi mendakwa pasangan itu pergi berbulan madu.

Terdahulu, pengguna media sosial mempersoalkan majlis perkahwinan pasangan itu pada Sabtu lalu yang didakwa tidak mengamalkan penjarakan fizikal semasa proses akad nikah berlangsung.

Sehubungan itu, polis memanggil penganjur majlis tersebut untuk membantu siasatan berhubung dakwaan pelanggaran SOP Covid-19.

“Siasatan akan dilakukan mengikut Seksyen 21A Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342),” kata Ketua Polis Daerah Dang Wangi Mohamad Zainal Abdullah dalam kenyataan.

Beliau berkata, selain pemilik hotel dan penganjur, polis akan memanggil pasangan pengantin itu serta ahli keluarga dan sanak saudara yang hadir di majlis berkenaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.