12 kertas siasatan VIP langgar SOP

12 kertas siasatan VIP langgar SOP

Daripada jumlah itu, tiga masih disiasat manakala dua tiada tindakan lanjut kerana melakukan tugas rasmi mematuhi SOP.

Antara kes disiasat ialah kegagalan bekas perdana menteri Najib Razak tidak mengimbas kod MySejahtera dan program berbasikal yang dirasmikan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin
NILAI:
Polis membuka 12 kertas siasatan berhubung isu pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) membabitkan golongan kenamaan atau VIP setakat ini, kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Huzir Mohamed.

Beliau berkata daripada jumlah itu, tiga kes masih dalam siasatan manakala dua dikategorikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA) atas alasan melakukan tugas rasmi selain mengikut SOP ditetapkan.

“Selebihnya telah dikompaun dan (mereka yang terlibat) telah membayarnya,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Ibu Pejabat Polis Daerah Nilai di sini hari ini.

Huzir berkata antara dakwaan pelanggaran SOP melibatkan program berbasikal yang dirasmikan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin, rentas negeri untuk menghadiri majlis perkahwinan dan lawatan Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob ke kem tentera di Sendayan.

Turut disiasat kes Najib Razak yang didakwa tidak mengimbas kod MySejahtera dan merekodkan suhu badan di sebuah restoran pada 19 Mac lepas dan kertas siasatan masih berada dengan Bahagian Pendakwaan dan Undang-Undang JSJ Bukit Aman.

Huzir berkata bagi program berbasikal dirasmikan Zuraida yang didakwa melanggar SOP, Ketua Polis Daerah Brickfields mengesahkan aktiviti itu dianjurkan mengikut kebenaran dan mematuhi SOP.

“Berhubung kes lawatan Ismail ke sebuah kem tentera di Sendayan, kami akan merakam (percakapan) penganjur majlis itu. Itu adalah lawatan rasmi tapi kerana sudah ada laporan, kami akan rakam (percakapan),” katanya.

Bagi kes beberapa VIP merentas negeri dari Lembah Klang untuk menghadiri majlis perkahwinan pada 14 Mac lepas, beliau berkata polis merakam percakapan pengurusan hotel yang menjadi lokasi majlis itu semalam selain akan turut merakam kenyataan pihak lain dalam waktu terdekat.

Huzir juga berkata kadar jenayah indeks di negara ini tahun lepas menunjukkan penurunan 24% iaitu 65,623 kes berbanding 83,475 kes pada 2019 dan antara faktor penurunannya ialah pelaksanaan PKP.

“Semasa PKP, pergerakan terhad selain kehadiran ramai anggota penguat kuasa termasuk polis dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang berada di merata-rata tempat serta operasi tidak henti-henti,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.