
Kata mereka, gejala seperti pengasingan sosial kini dapat dilihat ketika kanak-kanak sedang kembali menyesuaikan diri dengan persekitaran pembelajaran mereka.
Pakar kesihatan mental kanak-kanak dari Oasis Place Centre, Ong Su Sen, berkata murid-murid prasekolah, terutamanya anak tunggal, mungkin paling banyak terjejas kerana kekurangan peluang untuk mengembangkan kemahiran sosial dan lain-lain kemahiran yang penting.
Kata Ong, kanak-kanak dalam kumpulan umur ini memerlukan aktiviti untuk membantu mereka mengatur tahap tenaga.

“Batasan aktiviti luar dan sosial akan menyebabkan mereka gelisah dan mengakibatkan masalah-masalah tingkah laku,” kata beliau.
Tambah beliau, kanak-kanak menjadi lebih cemas pada umumnya dan beliau mengaitkannya dengan pelbagai faktor, termasuk ketiadaan rutin harian dan perasaan tertekan tentang kesihatan keluarga mereka.
Pakar psikologi Nadiah Syariani Md Shariff dari Universiti Pengurusan dan Sains bersetuju bahawa pengasingan sosial semasa wabak mungkin mempengaruhi perkembangan kognitif kanak-kanak.
Murid-murid tadika terutamanya rentan terhadap perubahan jangka panjang dalam interaksi antara rakan sebaya, ujar beliau.

“Ini akan menyebabkan kanak-kanak pada umumnya akan berdepan isu dalam hal pertimbangan sosial, yang akan mempengaruhi respons emosi dan tingkah laku, serta kesejahteraan mereka secara keseluruhan,” tambah beliau.
Namun, beliau berkata, kesan penjarakan sosial terhadap kanak-kanak dalam jangka pendek dan panjang masih belum dapat difahami.
Kata Nadiah, guru tadika dan sekolah rendah perlu bantu memantau perubahan tingkah laku pada kanak-kanak bawah jagaan mereka.
Mereka harus memerhatikan tingkah laku “social withdrawal”, seperti mengasingkan diri daripada aktiviti sosial, perasaan malu dan amarah, terutama sekiranya gejala itu berlanjutan, tambah beliau.
Pakar psikologi kaunseling Dr Rafidah Aga Mohd Jaladin dari Universiti Malaya berkata, gaya keibubapaan dan dinamik keluarga akan mempengaruhi perkembangan kognitif.

Kata beliau, terdapat kebimbangan bahawa ramai ibu bapa, terutamanya daripada golongan miskin, memilih gaya keibubapaan yang bersifat permisif, mengakibatkan anak-anak terabai.
Tambah beliau, kurangnya pemantauan ibu bapa mungkin mengakibatkan perkembangan psikososial yang tidak sihat dalam kalangan kanak-kanak bawah usia tiga tahun, dan merencatkan perkembangan kemahiran autonomi mereka.
“Bidang penyelidikan saya sekarang melibatkan golongan B40, terutamanya mereka yang tinggal di perumahan PPR,” kata beliau.
“Ia kelihatan membimbangkan kerana mereka mengalami masalah kewangan. Ramai ibu bapa daripada golongan B40 kehilangan pekerjaan akibat wabak.
“Apabila ibu bapa berdepan masalah, mereka mengamalkan ‘laissez-faire’ (dalam penjagaan anak-anak). Mereka lebih bimbang tentang mencari rezeki, dan mengabaikan anak-anak yang memerlukan asuhan dan perhatian.”
Prasekolah dan sekolah rendah dibuka kembali pada 1 Mac setelah hampir setahun ditutup akibat wabak Covid-19.