Ahli Parlimen Rembau itu juga berkata, Umno tidak boleh menangguhkan pemilihan parti selepas pilihan raya umum ke-15 (PRU15), sebaliknya perlu menghadapi pilihan raya dengan parti diterajui kepimpinan baharu yang diterima rakyat.
“Sepatutnya pemilihan diadakan tahun ini. Umno mesti menghadapi PRU15 dengan kepimpinan yang mempunyai mandat yang jelas dan yang boleh mendapat sokongan rakyat
“Segerakan pemilihan parti. Ambil tindakan yang tepat, Majlis (Kerja) Tertinggi. Kamu tahu kita tidak boleh terus begini,” kata beliau di Twitter hari ini.
Pada pemilihan lalu, Khairy yang juga menteri sains, teknologi dan inovasi, bertanding sebagai calon presiden bersama veteran Umno Tengku Razaleigh Hamzah sebelum mereka berdua tewas kepada Ahmad Zahid Hamidi.
Umno pada perhimpunan agung di Kuala Lumpur Ahad lalu lalu memutuskan untuk menamatkan kerjasama dengan PPBM dan menghadapi pilihan raya umum ke-15 bersendirian.
Zahid dilaporkan berkata, usul memutuskan hubungan politik dengan PPBM itu diluluskan perwakilan PAU2020.
Presiden Umno itu berkata, Umno tidak akan mendukung PN kerana PPBM berniat menghapus dan menggantikan Umno.
Sehari selepas perhimpunan agung itu, perdana menteri yang juga presiden PPBM, Muhyiddin Yassin mengadakan pertemuan mengejut dengan beberapa menteri dari Umno.