
Pemangku Ketua Polis Daerah Bachok, Yusrizal Mohd Ghazali berkata, terdahulu mangsa Mohd Sahudin Mat Shaah, 46, yang tinggal berhampiran datang berkelah bersama 12 ahli keluarga dan jiran di pantai itu telah menyelamatkan anak lelakinya yang berusia 15 tahun bersama rakan anaknya daripada lemas.
“Selepas menyelamatkan anaknya, mangsa Mohd Sahudin turun sekali lagi untuk menyelamatkan rakan anaknya Mohd Aman Firaz Aman Shah, 12.
“Kejadian yang berlaku itu menarik perhatian Junai Rohafizan Juhari, 35, yang berada di lokasi kejadian untuk turut sama bantu usaha menyelamat.
“Namun Mohd Sahudin, Mohd Aman Firaz dan Junai Rohafizan terus hilang dibawa arus,” kata beliau ketika ditemui di lokasi kejadian semalam.
Yusrizal berkata, mayat Mohd Sahudin yang ditemui pada 7.19 malam dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu untuk proses bedah siasat.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bachok Yus Heary Mahmud berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada 6.53 petang.
Beliau berkata, seramai 15 anggota bomba dari BBP Bachok dan BBP Tok Bali dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Ketika kini usaha dilakukan untuk mencari dua lagi mangsa pada jarak 120m dari pesisir pantai di sepanjang Pantai Kandis sehingga Pantai Tok Bali,” kata beliau.