PAS sudah lama pilih perkukuh MN, pertahan PN, kata ketua penerangan

PAS sudah lama pilih perkukuh MN, pertahan PN, kata ketua penerangan

Ketua Penerangan PAS Pusat, Kamaruzaman Mohamad berkata, parti itu konsisten dalam usaha menyatupadukan ummah.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Kamaruzaman Mohamad berkata, agenda PAS sangat jelas untuk memperkukuh Muafakat Nasional dan mempertahan Perikatan Nasional untuk tujuan sangat besar. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
PAS sudah lama memilih untuk memperkukuh Muafakat Nasional (MN) dan mempertahan Perikatan Nasional (PN), kata Ketua Penerangannya, Kamaruzaman Mohamad.

“PAS dah lama membuat pilihan. PAS konsisten dalam usaha menyatupadukan ummah.

“Sepak terajang dalam politik telah lama dilalui jemaah ini. Detik ini, agenda orang-orang Islam Melayu dan kerjasama bersama bukan Muslim yang tidak menentang Islam menjadi keutamaan,” katanya dalam kenyataan di Facebook.

Beliau berkata demikian susulan kenyataan Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi semalam dalam ucapan dasarnya pada Perhimpunan Agung Umno 2020, yang menolak kerjasama dengan PPBM dan menggesa PAS memberi komitmen penuh kepada kerjasama dengan Umno menerusi MN dan tidak berpijak “di tapak berbeza”.

Kamaruzaman Mohamad

Zahid berkata, langkah itu “tidak menjanjikan sebarang keberuntungan, apatah lagi pertambahan kerusi”.

Beberapa pemimpin Umno sebelum ini turut menegur PAS kerana dilihat “berenang dalam dua kolam”, iaitu bersekutu dengan Umno menerusi MN dan menjadi parti komponen PN yang ditunjangi PPBM.

Sementara itu, Kamaruzaman berkata, agenda besar dan penting dalam menyatukan PN memerlukan kejujuran, kerjasama, tolak ansur dan saling menghormati semua pihak, terutama PAS, Umno serta PPBM.

Tidak kira apa halangannya, beliau berkata, agenda PAS sangat jelas untuk memperkukuh MN dan mempertahan PN untuk tujuan sangat besar.

“Seruan saya kepada semua, bersatulah. Rapatkan syaf ukhuwah kita.

“Cukuplah pengalaman pada pilihan raya umum ke-14 menjadi pengajaran yang menyedarkan kita. Carilah titik persamaan yang boleh menyatukan kita semua.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.