PKPD di pusat jagaan, sekolah di Kelantan mulai esok

PKPD di pusat jagaan, sekolah di Kelantan mulai esok

Pusat jagaan Rohaniah dan Sekolah Integrasi Ikhwan di Kampung Gong Kulim diletakkan dalam perintah kawalan pergerakan diperketatkan sehingga 11 April.

PETALING JAYA:
Sebuah pusat jagaan dan sekolah di Kelantan akan diletakkan di bawah perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) mulai esok, susulan peningkatan kes jangkitan Covid-19 di situ.

Dalam kenyataan hari ini, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkata pusat jagaan Rohaniah dan Sekolah Integrasi Ikhwan di Kampung Gong Kulim, Semerak, Pasir Puteh akan diletakkan di bawah PKPD selepas 25 kes dikesan di lokaliti itu.

PKPD di dua premis berkenaan akan berkuat kuasa sehingga 11 April.

“PKPD akan membolehkan kementerian kesihatan menjalankan saringan bersasar terhadap semua penduduk, selain mengawal pergerakan dan jangkitan dalam komuniti,” kata Ismail.

Sementara itu, PKPD di penjara Tapah di Batang Padang, Perak, akan dilanjutkan sehingga 12 April.

Ismail berkata ini selepas kementerian kesihatan (KKM) mengesan 27 lagi tahanan sebagai positif pada 25 Mac. Seramai 3,787 telah disaring setakat ini dengan 834 didapati positif.

Bagaimanapun, perintah kawalan pergerakan di kuarters kakitangan penjara Tapah akan berakhir esok seperti ditetapkan sebelum ini.

Ismail turut mengumumkan perintah kawalan pergerakan di Nabawan, Sabah akan berakhir pada 30 Mac selepas hanya satu kes jangkitan baharu dikesan pada 26 Mac.

Tambahnya, PKPD di Pulau Tioman di Rompin, Pahang juga akan tamat esok. Ini kecuali di Kampung Juara yang masih dikenakan perintah kawalan pergerakan sehingga 6 April selepas KKM mengesan 32 jangkitan di kawasan itu.

Selain itu, katanya, PKPD di Kampung Bintawa Ulu dan Tengah di Kuching, Sarawak akan berakhir pada 30 Mac seperti dijadualkan, selepas KKM mengesahkan kluster melibatkan dua lokaliti itu terkawal.

Beliau juga berkata, 107 orang ditahan malam tadi kerana melanggar peraturan PKP, dengan 89 dikenakan saman manakala 18 direman.

Antara kesalahan termasuk gagal mematuhi penjarakan sosial, gagal menyediakan peralatan untuk mengesan kontak atau pendaftaran pelanggan, serta terlibat dalam aktiviti di pusat hiburan.

Pihak berkuasa turut menahan 28 pendatang asing tanpa izin dan lima penyeludup di bawah Ops Benteng. Sejumlah 12 kenderaan turut dirampas.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.